TENTERA Israel  mengambil alih operasi Hospital Al-Shifa di Gaza.
TENTERA Israel mengambil alih operasi Hospital Al-Shifa di Gaza.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Mungkin dia belum mati. Mayatnya tiada di sini." Itu antara ayat yang diucapkan seorang lelaki tatkala melilau sekitar Hospital Al-Shifa bulan lalu, ketika Israel mula menyerang pusat perubatan berkenaan.

Lelaki itu berusaha mencari seseorang dipercayai ahli keluarganya namun tidak dapat menemuinya.

Di tengah-tengah aliran ambulans yang tidak putus-putus, mangsa cedera keluar masuk, kelihatan dua kanak-kanak duduk di atas tanah, dalam keadaan keliru dan senyap.

Seorang jururawat pula menyerahkan seorang daripada kanak-kanak itu kepada doktor yang menjerit sama ada terdapat sesiapa yang mengenali kanak-kanak itu.

Suasana tambah pilu apabila saudara-mara mangsa korban serangan rejim Zionis Israel meraung di bilik mayat.

Berpuluh-puluh mayat yang dibalut kain kafan memenuhi peti simpanan mayat dan ada mayat diletakkan di atas lantai.

Sejak bulan lalu, Hospital Al-Shifa yang menempatkan ribuan pesakit dan penduduk yang mencari perlindungan di situ, menjadi sasaran peluru berpandu yang dilepaskan oleh pesawat Israel.

Ini kerana rejim berkenaan mendakwa Hamas mempunyai pusat arahan di bawah hospital berkenaan dan menggunakan hospital serta terowong di bawahnya untuk menyembunyikan operasi ketenteraan dan menahan tebusan.

Walaupun dakwaan itu sudah dinafikan Hamas namun, tentera Israel enggan percaya dan tetap meneruskan serangan.

Malah, keadaan semakin buruk apabila Amerika Syarikat berkata bahawa perisikannya sendiri menyokong kesimpulan yang dibuat Israel.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan Palestin mendedahkan 39 bayi meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Al-Shifa akibat kekurangan oksigen.

Serangan darat dan udara oleh Israel di hospital itu berlanjutan selama enam jam, menurut saluran televisyen Palestin.

Seorang doktor di Hospital Al-Shifa melaporkan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah individu yang cuba melarikan diri dari hospital.

Dr Fadia Malhis berkata, tentera Israel mengepung kawasan hospital dan mereka berada dalam jarak tidak sampai satu meter dari depan pintu hospital.

Katanya, mereka menembak sesiapa sahaja yang mahu keluar dari hospital. Jika sesiapa bergerak antara unit, mereka akan melepaskan tembakan.

Menurutnya, terdapat ramai syahid di kawasan depan bilik kecemasan dan keadaan di situ sangat teruk dan berbahaya.

Dr Fadia berkata, keadaan di hospital itu umpama penjara tanpa air, elektrik atau makanan.

Menurutnya, berikutan bekalan elektrik terputus dan keadaan bayi yang semakin teruk dalam inkubator di ICU, dia memberi bayangan bahawa bayi-bayi itu akan mati.

Seorang pakar bedah yang berada di hospital itu memberitahu AlJazeera, seorang jurutera yang cuba membaiki bekalan elektrik di hospital terbabit ditembak Israel.

Katanya, dia juga menyaksikan sebuah keluarga ditembak dan cedera ketika cuba melarikan diri.

Media melaporkan, ribuan masih terperangkap dalam kemudahan itu yang dikepung tanpa bekalan elekrik, air dan makanan.

Sehingga kini, tiada bantuan masuk seperti dijanjikan Israel manakala penembak tepat Israel terus menembak sesiapa sahaja berhampiran Hospital Al-Shifa.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus menyatakan bahawa Hospital Al-Shifa tidak lagi beroperasi sebagai pusat perubatan.

Katanya, hospital terbabit sepatutnya menjadi tempat selamat, namun berubah menjadi tempat kematian dan kemusnahan.

Beliau berkata, kemudahan itu kekurangan bekalan elektrik dan air serta capaian internet yang lemah, sekali gus menjejaskan keupayaannya untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan penting.

Hamas menegaskan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden 'bertanggungjawab sepenuhnya' untuk operasi tentera Israel di hospital berkenaan.

Menurut Hamas, penerimaan Rumah Putih dan Pentagon terhadap dakwaan palsu bahawa mereka menggunakan Hospital Al-Shifa untuk tujuan ketenteraan memberi lampu hijau kepada Israel untuk melakukan lebih banyak pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam.

Semoga Allah terus menlindungi bumi Palestin dan mengangkat doa umat Islam di seluruh dunia yang tidak henti-henti mengharapkan peperangan ini dihentikan.

   


Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 6:01 AM