FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Dr Mohd Hasrul Shuhari

Dokumen Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025 terbitan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Malaysia telah menyenaraikan 66 perkara yang menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Antaranya ialah:

Normalisasi Pemikiran Bertentangan Nilai Negara: 

Semakin berleluasa penyebaran luas naratif di dalam media sosial bertujuan memberikan imej baharu kepada ideologi dan perlakuan negatif untuk diterima umum. Perkara ini perlu dibanteras bagi mengelakkan hakisan dan ketirisan nilai agama, budaya dan norma tempatan Malaysia akibat perlakuan tidak bertanggungjawab ini. Usaha romantisme dan normalisasi ideologi komunisme, LGBT, pluralisme, hedonisme, ajaran sesat dan seumpamanya perlu dicegah dari merebak dan merosakkan pemikiran masyarakat.

Ideologi Bertentangan Agama Rasmi (atau dalam Perlembagaan Persekutuan, disebut 'Islam ialah  agama bagi Persekutuan'):  Penyebaran meluas ideologi baharu mahupun ideologi negatif yang dikitar semula untuk merosakkan pemikiran rakyat mampu menyebabkan ancaman kepada keselamatan negara. Ideologi berteraskan takrifan agama dangkal, menyimpang dan menyesatkan boleh mengancam masyarakat.

Perbalahan dalam masyarakat akibat fahaman berbeza akibat ketaasuban terhadap suatu bentuk pemikiran boleh menyebabkan pertelingkahan sesama rakyat. Ini termasuk perbuatan khurafat, syirik dan ajaran sesat yang mencemar kesucian agama serta bertentangan amalan Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi pegangan di Malaysia. Ini turut merangkumi usaha memperlekeh institusi agama Islam serta perundangan Syariah.

Ekstremisme dan Tindakan Keganasan: 

Isu keganasan antarabangsa terus menjadi ancaman global yang memberikan impak langsung kepada keselamatan Malaysia. Elemen ekstremisme dan keganasan yang menyusup masuk ke dalam negara serta pembabitan rakyat Malaysia dalam aktiviti keganasan di dalam dan luar negara, boleh mencetuskan kekacauan dan menggugat keamanan negara.

Menurut dokumen itu, semua ideologi baharu mahupun ideologi legasi yang ciri sifatnya bertentangan dengan norma acuan Malaysia itu perlu dipantau dan dicegah dari menular dalam kalangan rakyat.

Selari dasar ini, Persatuan Mahasiswa Usuluddin (PMUS) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Pusat Pengajian Usuluddin Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Majlis Belia Negeri Terengganu dan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI) telah mengadakan program Wacana Murajaah Usuluddin 2023 pada 21 Oktober 2023 menerusi platform Facebook live PMUS.

Semua pihak boleh menonton rakamannya menerusi Facebook rasmi Persatuan Mahasiswa Usuluddin (PMUS), Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Majlis Belia Negeri Terengganu atau Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI).

Wacana ini menampilkan dua pane, Dr Abdullaah Jalil yang juga Pensyarah Kanan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merangkap Ahli Panel Jawatankuasa Penyelidikan Isu-Isu Kontemporari Islam Negeri Sembilan (JPIKINS).

Tajuk pembentangannya adalah 'Elemen-elemen Tajsim dan Takfir dalam Kitab-kitab Terpilih Menurut Perspektif Ahli Sunah Waljamaah'.

Manakala, panel kedua, Deputi Superintendan Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff yang juga Pegawai Kanan, Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman. Tajuk pembentangan adalah 'Kepentingan Manhaj Ahli Sunah Waljamaah dalam Mendepani Radikalisasi Berdasarkan Pengalaman PDRM'.

Wacana ini penting kerana ada yang menyebarkan fahaman tajsim, takfir dan bertindak radikal terhadap pihak yang dikafirkan. Berkaitan takfir, beberapa penulisan telah dikenal pasti seperti kitab Juhud 'Ulama al-Hanafiyyah fi Ibtal 'Aqaid al-Quburiyyah yang menuduh Imam al-Ghazali sebagai seorang al-jahmiyyah (fahaman yang menafikan sifat Allah SWT) dan al-quburiyyah (fahaman memuja kubur). Imam al-Sayuti dituduh mempunyai pandangan khurafat al-quburiyyah. Imam Ibn al-Hajj al-Maliki dituduh berfahaman memuja berhala yang jelas (al-wathaniyyah al-sarihah).

 Imam Ibn Hajar al-Haitami dituduh sebagai ahli khurafat (al-khurafi), pemuja berhala (al-wathani) dan memiliki kitab memuja berhala (kitab wathani) iaitu al-Jauhar al-Munazzam fi Ziyarah al-Qabr al-Mu'azzam. Selain itu, Imam al-Sayyid al-Sharif al-Jurjani dituduh sebagai pemuja kubur (quburi), percaya Allah SWT itu menyatu dengan makhluk (ittihadi) dan khurafi. Imam al-Zarqani dituduh mempunyai pemikiran sufi pemuja kubur (sahib afkar sufiyyah quburiyyah).

Imam al-Subki dituduh sebagai antara ulama besar mazhab al-Shafie dan mazhab al-Asha'irah yang menjadi antara imam pemuja kubur dan berhala paling masyhur. Kitabnya berjudul Shifa' al-Saqam fi Ziyarah Khair al-Anam didakwa mengandungi seruan yang jelas membawa kepada fahaman memuja kubur. Dituduh juga sebagai individu terawal mendahului golongan keberhalaan dan pemuja kubur terkemudian sehinggalah ke zaman ini (hadha al-Subki salaf kulli khalaf wathaniyy quburiyy ila yaumina). Imam al-Sha'rawi pula dituduh sebagai ahli sufi yang wathani mulhid zindiq (ahli berhala, ateis dan zindiq) serta tiada agama baginya (la dina lahu).

Terdapat lebih kurang 150 ulama Ahli Sunah Waljamaah daripada ilmuwan al-Asha'irah, al-Maturidiyyah dan ahli sufi telah ditohmah sebagai ahli zindiq, ateis, wathani dan quburiyyah di dalam kitab ini. Ia merangkumi ulama muktabar dunia Islam seperti Imam al-Razi, Imam al-Taftazani, Imam al-Baidawi, Imam Ibn al-Mulaqqin, Imam al-Hisni, Imam Ibn al-Nu'man al-Maliki, Imam al-Zabidi, Imam al-Qastalani, Imam al-Jailani, Imam al-Kauthari, Imam al-Busiri dan lain-lain.

Dinyatakan juga, kebanyakan golongan al-Maturidiyyah, al-Asha'irah dan empat mazhab fiqh iaitu Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali berfahaman quburiyyah. Ini disebabkan mereka mengamalkan tabarruk, tawassul dan istighathah.

Kitab ini diiktiraf oleh penulis kitab yang berjudul al-Quburiyyah Nash'atuha Atharuha Mauqif al-'Ulama' Minha (al-Yaman Namudhajan) atau judul lainnya, al-Quburiyyah fi al-Yaman dengan menyatakan bahawa kitab Juhud 'Ulama al-Hanafiyyah tadi termasuk antara usaha para ulama untuk membanteras kesesatan. Di samping memberi pengiktirafan kepada kitab yang menyesatkan majoriti para ulama tersebut, kitab al-Quburiyyah fi al-Yaman ini juga menyenaraikan al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah sebagai aliran yang menyimpang.

 Segala tuduhan berat ini telah melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW dalam Hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah RA. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah SWT berfirman yang maksudnya: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku akan mengisytiharkan perang terhadapnya" (Hadis Riwayat al-Bukhari, nombor hadis 6502).

 Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam kitab Fath al-Bari berkaitan ciri-ciri wali Allah, mereka adalah orang yang mengenali Allah SWT, melakukan ketaatan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam beribadah. Bukankah tuduhan yang mengandungi elemen takfir tadi jelas boleh dianggap memusuhi para ulama yang memiliki ciri-ciri wali Allah SWT itu?

Semoga  wacana ini dapat memberi pencerahan berkaitan bahayanya fahaman bidaah tajsim, takfir dan radikalisasi.

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 7:01 AM