GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Pepatah Melayu ada menyatakan, 'cermat semasa banyak, jimat semasa sikit.' Manakala, definisi berjimat cermat sebagaimana dijelaskan dalam Kamus Dewan (Edisi Keempat) ialah berhemat-hemat, berhati-hati (terutama dalam penggunaan wang dan lain-lain).

Dalam konteks kehidupan moden, banyak perkara menuntut kita berjimat cermat selain wang. Antara yang menjadi keperluan dalam kehidupan seharian ialah makanan, pakaian, pengangkutan dan lain-lain perkara asas kepada kehidupan.

Kita bertuah dikurniakan banyak nikmat Allah. Tidak terhitung rezeki kurniaan Allah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya." (Surah Ibrahim, ayat 34)

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: "Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah daripada buahnya ketika ia berbuah dan keluarkanlah haknya (zakat) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau." (Surah al-An'am, ayat 141)

Allah SWT melarang bersikap boros dalam berbelanja. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Surah al-Isra', ayat 26-27)

Berjimat cermat banyak faedah dan manfaat kepada individu, masyarakat dan negara. Amalan ini dapat menyemai amalan berdikari dalam diri seseorang. Dengan semangat ini setiap orang akan berusaha menangani sendiri setiap perkara tanpa terlalu bergantung kepada orang lain. Seterusnya akan menjimatkan kewangan kerana tidak perlu mengupah orang lain selain dapat menambah pengalaman hidup.

Amalan berjimat cermat juga akan menambah simpanan wang dan pemilikan seseorang. Contohnya, jika berjimat menggunakan wang hasil pendapatan atau sumbangan, secara tidak langsung akan meningkatkan simpanan.

Mempunyai simpanan yang cukup sangat penting terutama dalam suasana ketidaktentuan ekonomi sekarang. Simpanan yang cukup membantu kita mengharungi situasi sukar seperti dalam krisis ekonomi.

Jika semua pihak mengamalkan berjimat cermat dalam menggunakan keperluan asas seperti air, elektrik dan tenaga asas lain sebagai contoh, maka negara mendapat faedah besar. Hasil penjimatan ini akan dapat digunakan untuk membantu golongan memerlukan.

Tidak dinafikan kerajaan sudah membantu segenap lapisan masyarakat melalui peruntukan besar. Setiap kumpulan rakyat dapat menikmati hasil mahsul negara dengan berkat kebijaksanaan pemerintah dan rakyat yang berhemah.

Namun, tidak bermakna rakyat boleh sesuka hati berbelanja dan boros. Bantuan daripada kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) seharusnya digunakan secara berhemah dan jimat cermat.

Sebaik-baik cara berbelanja adalah secara sederhana. Bahkan bersederhana adalah sifat yang amat terpuji. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan." (Riwayat Baihaqi)

Allah SWT berfirman: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu." (Surah al-Furqan', ayat 69)

Bukan semata-mata dalam perkara berkaitan wang dan harta benda, malah dalam semua perbelanjaan hendaklah bersederhana. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas." (Surah al-A'raf, ayat 31)

Daripada sunah Rasulullah SAW, Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Abas mengenai kisah Saidina Umar RA yang memasuki bilik Nabi Muhammad SAW semasa beliau menziarahi baginda. Saidina Umar RA berkata: "Akupun duduk dan aku melihat tanda (kesan) tikar pada badan Nabi Muhammad SAW. Aku ternampak segenggam gandum dan sekeping kulit tergantung, aku pun terus menangis. Lalu Nabi Muhammad SAW bertanya: Wahai Ibnu Khattab mengapa kamu menangis? Umar RA menjawab: Mengapa tidak, ya Rasullullah. Aku ternampak bekas tikar kasar di badanmu dan aku melihat hartamu hanya sekadar apa yang aku lihat sekarang.

Bayangkan Maharaja Rom dan Maharaja Parsi yang hidup dalam kelazatan, sedangkan kamu adalah Nabi hidup seperti ini? Nabi Muhammad SAW terus bersabda: Wahai Ibnu Khattab, apakah kamu tidak reda bahawa bagi kita akhirat dan bagi mereka dunia?" Kisah itu jelas membuktikan Rasulullah SAW hidup dalam keadaan sederhana.

Berbelanja secara berhemah sangat dituntut. Manakala berjimat cermat menggunakan keperluan hidup adalah sifat terpuji. Allah SWT berfirman: "Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian daripada harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar." (Surah al-Hadid, ayat 7)

Kesimpulannya, berjimat cermat adalah manifestasi bersyukur di atas nikmat kurniaan Allah SWT. Jika kita bersyukur, nescaya akan ditambahkan lagi rezeki-Nya.


Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 6:00 AM