FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Iman harta paling berharga yang dimiliki oleh Muslim dalam kehidupan ini. Imanlah juga yang bertindak sebagai piawaian yang menentukan martabat seseorang manusia di sisi Allah Taala sama ada berbahagia di dunia dan akhirat atau sengsara yang tidak berkesudahan dalam neraka. Jadi, untuk menilai tahap kualiti iman Muslim, Allah Taala sentiasa mengujinya dengan pelbagai bentuk ujian dalam kehidupan seharian. Adakalanya ujian itu berupa musibah amat membebankannya dan ada dugaan berbentuk sesuatu yang amat menyenangkan.

Dalam hal ini, Allah Taala berfirman dalam Surah al-Anbiya ayat 35 yang bermaksud: "Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan serta kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan."

Meminjam kata-kata Sayyid Qutub dalam kitab tafsirnya, Di bawah Bayangan al-Quran, beliau menegaskan bahawa kedua-dua bentuk ujian ini sebenarnya mempunyai tujuan sama iaitu untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia supaya tidak lupa kepada Allah Taala. Namun, apa yang berlaku pada hakikatnya, ramai yang tidak sedar diri mahupun insaf dengan peringatan Allah Taala itu. Justeru, ramailah daripada kalangan manusia yang lupa diri dan akhirnya mereka semakin berani melanggar hukum-hakam ketetapan Ilahi.

Begitulah lumrah kehidupan yang sentiasa menghiasi pentas hidup manusia. Ada kejayaan dan kegagalan, kemenangan dan kekalahan, kegembiraan dan kedukaan, untung dan rugi serta sihat dan sakit.

Apa yang penting, ujian mendatang itu adalah sebagai ukuran terhadap iman yang bertakhta di sudut hati. Sama ada berjaya atau tidak bergantung kepada sejauh mana kemampuannya mendepaninya.

Sehubungan itu, Allah Taala berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya (sebelum kamu menemui Tuhan - menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)." Surah al-Insyiqaq ayat 19

Jika kita merenung dengan lebih mendalam realiti kehidupan manusia di dunia ini, dengan memberi tumpuan kepada aspek metafiziknya maka secara fundamentalnya tiada sebarang kesulitan dan kepayahan dalam kehidupan manusia. Hal ini kerana manusia dikurniakan Allah sumber kekuatan dan keupayaan untuk menelusuri perjalanan hidup yang penuh onak. Untuk itu, manusia dilengkapkan Allah SWT kemampuan fizikal, kecerdasan akal fikiran dan kecelikan hati nurani untuk menyesesuaikan diri dengan sebarang situasi yang melanda di samping mencari jalan mengatasi kesulitan dihadapi.

Jika direnung pada makna ujian dan kesulitan yang mewarnai pentas kehidupan ini, ternyata ujian dan kesulitan itu dapat menjana kekuatan dan ketahanan diri manusia. Tanpa ujian dan kesulitan ini, tidak akan wujud istilah kemajuan dalam kamus kehidupan manusia. Perlu ditegaskan manusia adalah makhluk yang sentiasa belajar memahami erti kehidupan. Justeru, manusia belajar dan menjadi kuat kerana berjaya menghadapi tantangan yang merintangi di hadapannya. Sebaliknya, tanpa kesulitan dan kepayahan, daya kekuatan fizikal dan kecerdasan akal yang dimiliki manusia, tidak akan ada ertinya serta tiada manfaat sama sekali. Tanpa kesulitan dan ujian juga, daya pemikiran dan kewarasan manusia pun akan terencat, sekali gus akan membantut survival manusia dalam kehidupan yang penuh dinamik dan sentiasa berubah ini.

Dalam erti kata lain, kesulitan dan ujian hidup, jika dilihat daripada sumber kehidupan adalah satu jalan pendakian menuju ke puncak kejayaan, kebahagiaan dan keredaan Ilahi. Oleh sebab itu, kesulitan hidup jangan dikeluhkan, apatah lagi dicaci maki kerana kelak ia akan menghancurkan kemampuan yang dimilikinya. Maka, ada baiknya setiap kesulitan dan ujian hidup dihadapi sebagai langkah untuk mendekatkan diri ke hadrat Allah SWT yang Maha Esa.

Oleh yang demikian, setiap Muslim janganlah mudah berputus asa daripada rahmat Ilahi dan jangan pula mudah mengeluh kerana keluhan yang dilafazkan itu hanya akan mengakibatkan kesulitan itu akan menjadi lebih berat serta sukar ditangani. Di satu segi yang lain, kegagalan bukanlah bererti gagal untuk selama-lamanya. Ini adalah falsafah hidup yang sewajarnya menjadi pegangan hidup Muslim di dunia serba mencabar yang sepatutnya kegagalan ditempuh mampu menyuntik kembali semangat juang, keimanan dan ketabahan dalam menelusuri titian hidup penuh pancaroba.

Selanjutnya, umat Islam sewajibnya memahami dan menyedari makna kehidupan sebenarnya sarat ujian, perjuangan dan pertarungan sengit yang bakal menentukan kualiti diri insan sama ada sebagai insan salih atau insan tolih.

Kesimpulannya, ujian kehidupan ini sebenarnya adalah perjalanan hidup yang pasti dan mesti dilalui oleh setiap insan penghuni bumi Allah ini. Setiap insan sewajarnya bersiap sedia kerana ujian itu kadang-kadang menjelma tanpa diundang dan tidak disedari. Ini kerana ujian itu berada di bawah ketentuan dan ketetapan Ilahi jua. Perkara paling penting, tidak kira sama ada kesenangan mahupun kesusahan, setiap Muslim berbekalkan keimanan kepada Allah Taala semestinya bersedia mendepani setiap liku hidup yang penuh onak. Ingatlah kepada Allah Taala sentiasa dalam semua keadaan, mudah-mudahan rahmat dan hidayah-Nya menemani setiap detik hidup insan yang beriman.

Penulis Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 6:00 AM