GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Setiap manusia sudah pasti berdepan cabaran dan ujian di dalam hidupnya. Malah, setiap ujian daripada Allah SWT bukan perkara sia-sia tanpa tujuan. Hakikatnya, ujian yang dilalui manusia menjadi neraca untuk menilai tahap sebenar keimanannya kepada Allah.

Perkara ini sudah dijelaskan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: 'Kami beriman' sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta." (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat sabar bermaksud betah menahan penderitaan (kesakitan, kesusahan dan-lain-lain), tidak terburu-buru dan tenang. Manakala, reda pula membawa maksud bersedia dengan ikhlas hati dan rela. Manakala, syukur pula bermaksud terima kasih, untunglah, mujurlah dan beruntung, mujur dan bertuah.

Adapun dalam konteks bahasa Arab perkataan sabar, reda dan syukur memberikan maksud yang berbeza sama ada daripada bahasa dan istilah. Sabar bermaksud menahan diri daripada melakukan sesuatu atau daripada mengatakan sesuatu yang menunjukkan perasaan tidak reda dengan takdir Allah ketika menghadapi ujian atau musibah.

Orang yang sabar akan menahan lidahnya daripada menuturkan perkataan yang menunjukkan seolah-olah membantah ketentuan Allah serta menjaga seluruh anggotanya daripada bertindak yang menunjukkan seolah-olah marah atau membantah ketetapan Allah kepadanya. Keadaan ini banyak berlaku dalam kalangan orang Arab terdahulu seperti mencederakan diri sendiri, mengoyakkan pakaian, merosakkan harta benda atau menghantukkan kepada ke dinding dan sebagainya.

Dalam Islam terdapat pelbagai cara dan saranan daripada Allah untuk menghadapi ujian Allah. Antara paling utama ialah dengan memperbanyakkan solat.

Begitu juga pedoman daripada Rasulullah SAW. Antaranya sabda baginda yang bermaksud: "Apabila sesuatu musibah menimpa engkau, maka janganlah engkau berkata, "Kalau (tadinya) aku berbuat begitu tentulah jadinya akan begini." Tetapi, katakanlah, "Allah telah mentakdirkan yang demikian dan apa-apa yang dikehendaki-Nya, Dia perbuat." Ucapan 'kalau-kalau' itu hanyalah membukakan peranan syaitan." (Hadis Riwayat Muslim)

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada mereka, sambil mereka berkata: Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami daripada limpah kurnia-Nya, demikian juga Rasul-Nya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah." (Surah al-Taubah, ayat 59)

Ulama meletakkan hukum wajib kepada sifat sabar. Bermaksud seseorang yang tidak bersabar dengan ujian atau musibah daripada Allah dikira berdosa dan akan mendapat hukuman daripada Allah. Manakala reda pula adalah satu sifat yang sangat digalakkan kerana ia tahap yang lebih tinggi daripada semata-mata bersabar. Tidak semua orang mampu mencapai tahap ini. Bagaimanapun, setiap Muslim sangat dituntut untuk berusaha mencapai tahap reda. Setiap orang yang reda pastinya mempunyai sifat sabar. Maka, dia akan mampu menghadapi ujian Allah kerana yakin ia pasti membawa kebaikan kepadanya. Oleh itu, dia tidak akan merasai kesakitan daripada ujian atau sesuatu musibah yang berlaku.

Manakala, sifat yang lebih tinggi daripada kedua-duanya ialah sifat syukur. Muslim yang bersyukur akan menerima setiap ujian Allah dengan sabar dan reda serta merasai bahawa semua itu adalah nikmat daripada Allah.

Setiap Muslim yang beriman mampu mencapai tahap sabar, reda dan syukur dengan beberapa cara. Pertama, mestilah meyakini bahawa Allah memilihnya untuk ujian itu kerana kemampuannya. Allah juga tidak mengenakan kepadanya sesuatu ujian kecuali untuk memberikan kebaikan kepadanya. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sangat menakjubkan semua urusan orang beriman, sesungguhnya segala urusannya itu baik baginya dan hal itu tidak dimiliki oleh seorang pun kecuali orang beriman. Apabila ia mendapat kesenangan ia bersyukur, maka yang demikian itu baik baginya dan apabila ia ditimpa kesusahan dia sabar, maka yang demikian itu baik baginya." (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua, hendaklah dia meneliti kepada sebab Allah menjadikan ujian atau sesuatu musibah itu kepadanya. Jika ujian itu untuk menghapuskan dosanya, maka itu adalah kebaikan baginya kerana dia akan kembali kepada Allah dengan keadaan suci daripada sebarang dosa. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Tidak henti-hentinya bencana (bala) itu mengenai seseorang mukmin, lelaki atau perempuan, baik dalam dirinya sendiri, anaknya atau pun hartanya, sehingga ia menemui Allah dan di atasnya tidak ada lagi sesuatu kesalahan pun." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Ketiga, seseorang Muslim hendaklah meyakini adanya orang lain yang diuji dengan musibah lebih teruk.. Bahkan, apa yang berlaku kepadanya adalah hasil daripada sifat Rahmah (kasihan belas) Allah kepadanya. Malah, dia mestilah mengetahui bahawa sifat sabarnya dalam menghadapi ujian Allah adalah ibadah. Begitu juga sifat reda dan bersyukur di atas ketentuan Allah ke atasnya.

Keempat, dia mestilah melihat kepada natijah ujian Allah ke atas dirinya. Betapa ramai orang yang kembali kepada Allah dengan bertaubat daripada dosa atau bertambah zikirnya setelah melalui ujian-Nya. Seterusnya menjadikannya seorang yang banyak beribadah dan sentiasa merasai muraqabah (mendekatkan kiri) kepada Allah. Kelima, dia hendaklah meyakini bahawa ganjaran sabar dan reda ialah mendapat balasan syurga.


Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 6:00 AM