GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Siti Nur Baiin Che Harun

"Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat."  (Hadis Riwayat Bukhari)

"Wahai bumi, telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu." (Surah Hud ayat 44)

"Wahai Tuhanku! Turunkanlah hujan di sekitar kami dan janganlah musnahkan kami. Ya Allah! Engkau turunkanlah ia di atas gunung-gunang dan bukit-bukau, di lembah-lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok (pepohonan)."  (Hadis  Riwayat Bukhari dan Muslim)

Meniti hari kembara di awal 2021 ini, di saat dunia masih belum reda dengan diuji pandemik Covid-19, siapa sangka kita diuji pula dengan bah besar terutama di Pahang, Johor dan Kelantan. 

Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita di dada akhbar dan media lain, ramai di kalangan perantau kita tersekat dengan banjir di pertengahan perjalanan. Terlalu banyak korban harta dan nyawa di timpa musibah banjir. Ia sungguh tragis. Di saat inilah, kita sebenarnya bukan diuji oleh Allah SWT semata-mata, tetapi kita diseru untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripada sebalik apa yang berlaku.

 "Allah uji sebab Allah sayang." Ucapan ini seringkali diucapkan oleh pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew. Ujian bukan sahaja berbentuk musibah. Namun, ujian juga boleh didatangkan dalam bentuk kesenangan. Kita yang bersenang lenang juga sebenarnya diuji untuk tampil membantu meringankan beban atau sekadar melihatnya sahaja. Ujian Allah ini sebenarnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menguatkan kita, membersihkan amalan supaya kita dapat melihat sekali gus merasai sendiri hikmah dan kasih sayang Allah SWT di sebalik apa yang berlaku. 

Nabi SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya." (Hadis  Riwayat al-Bukhari)

Di sebalik ujian inilah sebenarnya kita mendidik diri dengan sifat mahmudah dan ketinggian insan yang Allah sangat menyukainya. "Sesungguhnya Allah SWT menyukai perkara (akhlak-akhlak) yang tinggi dan mulia dan Allah SWT membenci perkara (akhlak-akhlak) yang keji." (Riwayat Al-Thabarani)

Terdapat banyak sifat mahmudah yang dapat diperoleh daripada ujian ini. 

Latih diri untuk berdoa dan bertaubat

Nu'man Ibn Basyir meriwayatkan daripada Nabi SAW yang bermaksud: "Doa itu adalah ibadah." Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah, nescaya Aku perkenankan untukmu."  (Surah Al-Ghafir: 60) 

Tanpa disedari, berdoa ketika ditimpa musibah sebenarnya mewujudkan rasa keikhlasan yang lebih mendalam kerana di saat itulah kita bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam berdoa dan berkomunikasi dengan Allah SWT Yang Maha Mendengar (Al-Sami'), Yang Maha Memberi Kesejahteraan (Al-Salam) dan Yang Maha Pengampun (Al- Ghaffar). Kita memohon untuk dijauhkan daripada malapetaka dan sebarang bahaya kerana kita benar-benar takut dalam keadaan ditimpa kecemasan dan musibah. 

Almarhum Datuk  Ismail Kamus dalam kitab Indahnya Hidup Bersyariat ada berpesan bahawa syarat berdoa dikabulkan adalah daripada orang yang berdoa dengan penuh harapan selain kita mengetahui isi dan makna doa itu. Kita juga mula bertaubat kerana banyak melakukan dosa besar sehingga Allah menurunkan bala ke atas semua makhluk-Nya. "Sesiapa yang selalu memohon ampun (beristighfar), Allah akan menjadikan setiap kegelisahan penyelesaian baginya dan setiap kesempitan, jalan keluar dan mengurniakan rezeki (daripada sumber) yang tidak disangka-sangka." (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah daripada Ibn 'Abbas)

Muhasabah dan mahabbah

Tanpa disedari kita mula bermuhasabah apabila melihat kesusahan orang di sekeliling yang diuji dengan musibah banjir. "Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sisimu ketika susah dan senang. Dia sanggup membahayakan dirinya demi kebaikanmu, sanggup berkorban apa sahaja untuk kepentinganmu." (Hadis Riwayat Saiyyidina Ali)

Ketika suasana hiba datang menerpa, kelihatan ramai sukarelawan, agensi mahupun orang perseorangan mula turun padang menghulurkan pelbagai bantuan. KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut mencemar duli dan berkenan memberi bantuan di kawasan yang terjejas. Inilah yang dikatakan syariat dalam bermasyakat. Berkasih sayang dalam memberi bantuan kepada sesiapa sahaja yang ditimpa kesusahan dengan memberi bantuan dan pertolongan dalam pelbagai bentuk sekali gus memupuk dan melahirkan ihsan. Ini dapat mewujudkan nilai mahabbah sesama manusia walaupun tiada pertalian darah. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan beriman seseorang di kalangan kamu (secara sempurna) sehinggalah dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri." (Hadis Riwayat Imam Bukhari) 

Sabar dan syukur

Allah berfiman: "Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah bersama orang-rang yang sabar." (Surah Al-Baqarah ayat 153)

Sifat sabar diulang 90 kali di dalam al-Quran. Betapa Allah mengangkat darjat ketinggian orang yang sabar. Bersabarlah di atas ujian yang dihadapi. Kerana kita tahu di sebalik ujian ini banyak hikmah yang boleh kita ambil iktibarnya dan ilmu kita sangatlah terhad. Orang yang sabar mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah SWT. Dan sifat Allah itu Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Kita sekadar tahu membuat andaian daripada kedangkalan pengetahuan kita sahaja dan Allah SWT Yang Maha Mengetahui (Al-Alim). 

"Dan boleh jadi kamu tidak menyukai kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah ayat 216) 

Bersyukurlah kerana kita insan terpilih yang diberi ujian supaya kita tidak lupa siapa kita. Allah tidak menguji kita dengan sia-sia. Allah menjanjikan kurniaan dan ganjaran bagi orang yang sabar. Firman Allah SWT yang bermaksud: "...iaitu orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakal." (Surah An-Nahl ayat 42)

Firman Allah yang bermaksud: "Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai di syurga yang mengalir di bawahnya beberapa batang sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh  (iaitu) mereka yang sabar dan mereka yang berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya. (Surah Al-Ankabut ayat 58-59)

Reda dengan qada' Allah SWT

Segala ujian atau ketentuan daripada Allah perlu diterima dengan syukur dan sabar. Ada hikmah di sebalik ujian. Sesungguhnya Allah Yang Maha Perancang dan Maha Menjadikan (Al-Baari'). Tidak perlu ada rasa penyesalan atau keluh kesah dengan apa yang berlaku. Ini antara amalan untuk mencapai maqam atau tingkatan iman. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah telah reda akan mereka dan mereka pula reda dengan Allah, itulah sifat orang yang takut akan Tuhannya." (Surah Al-Bayyinah ayat 8)

Semoga dengan ujian ini kita dapat mendidik dan membersihkan jiwa dan amalan harian kita. Berilah kata semangat dan ucapan yang baik kepada mereka yang diuji kerana Sayyidina Ali bin Abi Tholib berpesan: "Lihatlah apa yang dikatakan jangan melihat siapa yang mengatakan."

Didoakan mangsa banjir dikurniakan kesabaran dan keredaan menghadapi ujian besar ini kerana ujian dan musibah ini adalah tarbiyah daripada Allah untuk mengangkat darjat kita di sisi-Nya. Semoga Allah menggantikan yang lebih baik dan dipermudahkan segala urusan. 

Penulis Guru Bahasa Inggeris, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 9:48 AM