MUSIBAH banjir yang berlaku pada hujung minggu lalu meninggalkan kesan
MUSIBAH banjir yang berlaku pada hujung minggu lalu meninggalkan kesan
Datuk Mohd Ajib Ismail

Musibah banjir yang melanda beberapa tempat di negara ini menyaksikan orang ramai mengalami kehilangan nyawa, harta benda, tempat perlindungan dan makanan. Perasaan sedih dan hiba ketika berhadapan situasi itu adalah lumrah manusia lebih-lebih lagi apabila melihat rumah yang menjadi tempat berlindung selama ini ditenggelami air dan harta benda diperoleh dengan hasil titik peluh sendiri rosak teruk serta musnah dalam sekelip mata.

Menurut laporan media (sehingga rencana ini ditulis) sehingga kini musibah banjir mengorbankan sekurang-kurangnya 34 nyawa ditemukan pasukan penyelamat.

Bagi orang Mukmin, setiap musibah yang dihadapi dengan penuh kesabaran dan ketaatan akan mengangkat darjat keimanan di sisi Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar."

Dalam sebuah hadis dinyatakan bahawa musibah yang melanda dapat menghapuskan dosa sebagaimana hadis daripada Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahannya." Riwayat al-Bukhari

Orang Mukmin mesti menerima ujian dan musibah dalam kehidupan dengan bersangka baik terhadap rahmat Allah SWT serta bermuhasabah atas dosa dilakukan sebaliknya menjauhi prasangka buruk dengan menyalahkan takdir dan orang lain.

Ajaran Islam menganjurkan manusia yang menghadapi situasi musibah dengan memohon pertolongan kepada Allah SWT melalui sifat sabar dan mengerjakan solat serta berdoa seperti firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud: "Wahai sekalian orang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar."

Janganlah kita mengabaikan tanggungjawab seperti menunaikan solat dalam suasana kesibukan dan kekalutan menghadapi musibah. Selain itu, Islam juga menyarankan agar berikhtiar mendapatkan bantuan daripada pihak yang boleh menghulurkan pertolongan seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat awam. Bahkan Rasulullah SAW turut memberikan amaran tentang tanggungjawab pemimpin dalam menjaga maslahah ummah terutama dalam urusan memelihara agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Menjadi kewajiban semua pihak untuk menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban dan kesempitan yang sedang dialami.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak mengambil tahu tentang urusan orang Islam maka dia tidak termasuk daripada kalangan mereka. Sesiapa yang ada pada pagi dan petangnya tidak ikhlas kepada Allah, Rasul-Nya, Kitab-Nya, pemimpinnya dan kepada umat Islam maka dia tidak termasuk dalam kalangan mereka (umat Islam)." Riwayat Thabrani

Dalam situasi getir dan mencabar ini, elakkan dan jauhi sifat negatif seperti saling menuding dan mencari kesalahan, bersangka buruk, menghamburkan kata-kata kasar, kesat dan mengambil kesempatan atas kesulitan orang lain dengan perbuatan seperti mencuri. Dalam insiden yang berlaku baru-baru ini ketika situasi cemas menghadapi musibah banjir, kesediaan pihak Mydin menghalalkan tindakan pecah masuk di pasar raya miliknya adalah perbuatan terpuji sekiranya benar dilakukan atas sebab darurat atau mereka yang terlibat dalam kejadian berkenaan tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan berkenaan demi kelangsungan hidup bukan berniat melakukan jenayah. Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Amru, Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Seorang Muslim adalah orang yang golongan Muslimin selamat daripada lisan dan tangannya dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan apa dilarang oleh Allah." Riwayat al-Bukhari

Bagi anggota masyarakat yang tidak terkesan dengan musibah, tunjukkanlah sifat keprihatinan dan perasaan simpati dengan menghulurkan pelbagai bentuk bantuan serta pertolongan mengikut kemampuan masing-masing. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Seorang Muslim ialah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, Allah akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat…" Riwayat al-Bukhari

Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama menunjukkan solidariti dan semangat muhibah yang tinggi dengan saling membantu meringankan beban golongan terkesan akibat banjir. Perkara itu bertepatan dengan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perumpamaan orang Mukmin dalam berkasih sayang bagaikan satu tubuh, apabila satu anggota badan merintih kesakitan maka seluruh badan akan merasakan panas dan demam." Riwayat Muslim

Di Wilayah Persekutuan, agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah digerakkan bagi menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan melalui Skuad Musaadah dengan pelbagai inisiatif. Masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan juga telah menyatakan kesediaan untuk dijadikan sebagai tempat perlindungan sementara bagi mangsa banjir dan Masjid Al-Hidayah, Kampung Sungai Pencahala adalah antara penempatan yang terawal. Makanan percuma Dapur It'am disediakan setiap hari melalui 70 masjid dan surau untuk diagihkan kepada mangsa banjir sekitar Lembah Klang manakala Jawi Food Bank mengagihkan barangan keperluan seperti kelengkapan asas kebersihan diri, tilam, lampin dan pelbagai barangan lagi. Sukarelawan juga digerakkan bagi membantu kerja pembersihan di rumah kediaman, masjid, surau dan sekolah yang turut terkesan dengan musibah banjir.

Marilah kita berdoa agar dikurniakan kecekalan dan ketabahan kepada semua yang ditimpa musibah serta diberikan nikmat yang lebih baik kepada mereka sebagaimana hadis daripada Ummi Salamah, katanya, "Rasulullah SAW bersabda bermaksud, Jika ada di antara kalian tertimpa musibah, hendaklah dia berkata: Maksudnya: "Sesungguhnya kami milik Allah dan sesunguhnya kami akan kembali kepada-Nya. Ya Allah aku hanya menghitung pahala musibah ini di sisi-Mu maka berikanlah kepadaku pahala itu dan gantikanlah aku dengan sesuatu yang lebih baik daripada musibah ini." Riwayat Abu Daud

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 6:00 AM