TUGAS memilih pemimpin  terbaik adalah di bahu setiap pengundi. FOTO Arkib NSTP
TUGAS memilih pemimpin terbaik adalah di bahu setiap pengundi. FOTO Arkib NSTP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Teras kepada negara adalah pemimpin yang adil yang akan memacu negara kepada kemajuan dan kelestarian hidup semua rakyat di negara itu. Sebagaimana negara lain yang mengamalkan demokrasi berparlimen, Malaysia juga akan mengadakan pilihan raya untuk memilih kepemimpinan negara baharu.

Ia adalah proses biasa bagi memilih kepemimpinan negara berdasarkan suara majoriti rakyat yang layak mengundi.

Dalam konteks Islam, pemimpin yang dipilih mesti pemimpin yang adil. Tugas seorang pemimpin sangat berat. Tanggungjawab yang dipikul di atas bahu setiap pemimpin akan disoal Allah SWT di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggung jawab atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta itu. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggung jawab atas kepemimpinannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam mewariskan kepemimpinan yang adil daripada generasi sahabat yang bersama Rasulullah SAW, Islam telah meletakkan kedudukan yang tinggi kepada pemimpin yang adil. Begitu juga, menjadikan hukuman ataupun akibat yang buruk sekiranya seseorang pemimpin itu berlaku zalim.

Oleh itu, dalam menentukan kestabilan dan keharmonian sesebuah negara, ia mestilah dipilih daripada kalangan mereka yang betul-betul mempunyai kelayakan terutamanya sifat adil sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: "Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambil lah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah." (Surah al-Qasas, ayat 26)

Berdasarkan ayat di atas, seorang pemimpin yang hendak dipilih mestilah berdasarkan kepada ciri-ciri yang telah disebutkan Allah SWT ataupun disebutkan oleh Nabi SAW. Dapat difahami daripada ayat berkenaan, yang menjadi syarat utama seorang pemimpin ialah seorang yang mempunyai kebolehan dan kelayakan dalam mengurus dan mentadbir.

Sifat al-Qawiy (kuat) sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat itu adalah merujuk kemampuan seseorang dalam bidang ilmu dan kepakaran. Di samping kemampuan dan kelayakan seseorang itu untuk mengurus dan juga mentadbir sebuah negara, sifat amanah dan jujur juga adalah menjadi keutamaan. Sifat inilah sebenarnya yang menjadi asas kepada keperibadian Rasulullah SAW. Baginda digelar al-Amin oleh kalangan orang Arab termasuk Arab jahiliyyah pada waktu itu kerana sifat jujur dan amanah yang ada pada Baginda.

Contoh ikutan ini disebutkan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Pemimpin yang terbukti tidak memenuhi ciri-ciri sebagaimana yang dianjurkan di dalam Islam hendaklah dielakkan ataupun tidak menjadi pilihan. Malah, mereka yang mungkin ada kelemahan yang tertentu, tetapi lebih berkemampuan dalam bidang masing-masing hendaklah diberi keutamaan. Menjadi tuntutan pada masa sekarang juga adalah untuk memilih pemimpin yang boleh membawa negara ke mercu kejayaan dan juga kemajuan sebagaimana yang dicapai oleh negara membangun dan negara maju yang lain.

Hasrat untuk melihat negara kita mencapai taraf negara maju tidak akan tercapai jika pemimpin yang menggerakkan negara tidak proaktif membawa negara ke puncak kemajuan.

Oleh itu, pemimpin yang berwibawa mestilah diberi tempat yang sewajarnya. Manakala, pemimpin terbukti gagal membawa negara ke arah yang lebih baik hendaklah diabaikan ataupun tidak diberi peluang. Tanggungjawab memilih adalah di atas bahu setiap pengundi untuk memilih pemimpin sama ada di peringkat negeri atau di peringkat negara.

Jika tersalah pilih mereka yang tidak layak atau berlawanan dengan ciri kepemimpinan yang dianjurkan Islam, maka ditakuti akan membawa kepada bencana.

Ambillah pengajaran daripada firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat daripada jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu." (Surah Saad, ayat 26)

Berdasarkan keadaan negara masa ini, antara keutamaan yang patut diberi perhatian oleh kita ialah soal menjaga kebajikan setiap warganegara. Kemelesetan ekonomi kesan pandemik Covid-19 juga menjadi cabaran besar kepada pemimpin yang dipilih. Pastinya setiap orang akan mengharapkan seorang pemimpin yang prihatin kepada segala permasalahan rakyat.

Kesimpulannya, tugas memilih pemimpin terbaik adalah di bahu setiap pengundi. Jika mereka dapat membuat pertimbangan yang wajar dan waras, pastinya akan dipilih mereka yang benar-benar layak untuk memimpin negara kita untuk mencapai mercu kejayaan dan kecemerlangan. Semua pihak mestilah bertanggungjawab di atas pilihan mereka. Setiap pemilih juga harus bertanggungjawab di atas pilihan mereka kerana undi mereka mencorakkan kepemimpinan negara masa hadapan.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 7:00 AM