KESAN kemalangan dapat dikurangkan jika semua pihak memahami dan mematuhi peraturan lalu lintas.
KESAN kemalangan dapat dikurangkan jika semua pihak memahami dan mematuhi peraturan lalu lintas.
Prof Madya Dr Munzilah Md Rohani

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita kemalangan maut melibatkan 10 mangsa yang sebahagian besarnya adalah dalam satu ahli keluarga. Berita ini sangat menyayat hati dan bukan pertama kali berlaku di negara kita. Sudah banyak peringatan dikeluarkan oleh banyak pihak berkaitan prosedur operasi standard (SOP) jika berlaku kecemasan di atas jalan terutamanya di jalan yang mempunyai had kelajuan tinggi seperti lebuh raya kita, tetapi kejadian yang sama masih berulang. Di manakah silapnya perkara ini? Walaupun ia adalah takdir kepada mangsa, tetapi ia wajar menjadi peringatan kepada mereka yang masih hidup terutama yang sering memandu di jalan raya.

Tanggungjawab ketika menjadi pengguna kepada jalan berkelajuan tinggi pasti tidak sama dengan tanggungjawab ketika menjadi pengguna jalan raya dalam kawasan bandar yang sesak. Di lebuh raya terutama yang mempunyai had laju melebihi 80km/j, impak kemalangan adalah lebih tinggi berbanding dalam kawasan bandar yang rata-rata pemandu akan memandu dalam kelajuan antara 60 hingga 40km/j.

Fakta yang perlu kita semua ketahui adalah ketika pemanduan pada kelajuan tinggi, mana-mana pemandu tidak akan dapat memberhentikan kenderaaan dengan selamat dalam tempoh yang singkat. Perkara ini banyak kali ditekankan dalam semua modul keselamatan jalan raya terutama sekali dalam modul yang terkandung dalam silibus kursus pemanduan yang perlu dihadiri oleh calon-calon pemandu ketika untuk mendapatkan lesen memandu. Maka ia menjadi perkara yang paling asas yang perlu diketahui untuk memastikan keselamatan diri.

Berbalik semula tanggungjawab untuk menjaga keselamatan pemandu dan penumpang ketika berada di lebuh raya. Ia bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan kerana sedikit kecuaian boleh membawa padah. Walaupun kecemasan atau kerosakan kenderaan tidak dapat dijangkakan, kepantasan berfikir dan tindakan berkaitan keselamatan semua pengguna jalan adalah sangat diperlukan. Sekurang-kurangnya kita cuba untuk mengurangkan risiko yang lebih parah.

Cuba cari kawasan yang selamat seperti hentian rehat untuk berhenti. Sekiranya berlaku kes kecemasan dan perlu berhenti serta-merta, pastikan kenderaan berhenti sejauh mungkin ke kiri bahu jalan, jauh dari aliran trafik. Pastikan juga tayar kenderaan dipusingkan ke kiri supaya jika berlaku kejadian langgar belakang, kenderaan anda akan terus kekiri dan bukannya masuk ke aliran trafik yang pastinya lebih bahaya.

Jangan sesekali padam lampu kenderaan anda terutama lampu amaran dan sila pastikan semua penumpang keluar dan duduk dalam kawasan selamat dan jauh dari kenderaan anda yang rosak (di belakang penghadang lebuh raya). Hubungi pihak keselamatan dengan segera. Jangan sesekali cuba untuk baiki atau meletakkan sebarang peranti amaran (kecuali benar-benar selamat)di laluan kereta kerana kita mungkin ada risiko untuk dilanggar terutamanya ketika waktu malam. Maka tinggalkan kenderaan dengan segera ke tempat selamat sehingga bantuan tiba. Ini adalah langkah paling selamat yang perlu kita lakukan iaitu dengan mengutamakan keselamatan diri.

Kepada pengguna jalan raya yang lain, peka terhadap persekitaran pemanduan adalah kunci utama keselamatan diri dan pengguna jalan yang lain. Penggunaan bahu jalan terutama untuk kenderaan berat ini kadangkala boleh meninggalkan bala kepada kenderaan yang mungkin berhenti kerana kecemasan. Tambahan pula kenderaan jenis ini sudah tentu memerlukan jarak berhenti selamat yang lebih panjang berbanding kenderaan lain disebabkan faktor berat dan dimensi kenderaan tersebut.

Kepada semua pengguna lebuh raya, untuk mengelakkan impak kemalangan yang teruk jika perlu bergerak di lorong kecemasan kerana faktor yang tak dapat dielakkan, pemandu harus memandu dalam kelajuan yang rendah untuk memungkinkan mereka berhenti dengan selamat jika terdapat bahaya dihadapan. Untuk kenderaan dilorong lain pula, jarak selamat dan had laju perlu sentiasa dipatuhi. Yang paling utama sentiasa peka dengan perubahan aliran trafik dan patuhi peraturan di lebuh raya kerana malang tidak berbau.

Jadikan kemalangan sebegini sebagai pengajaran untuk semua dan semoga mangsa yang terlibat diberikan kesabaran. Untuk mereka yang kerap menggunakan jalan raya terutama di jalan bertaraf lebuh raya, jangan ambil mudah soal keselamatan diri dan penumpang anda. Utamakan keselamatan nyawa dahulu.


Penulis Ahli Smart Driving Research Center, UTHM dan beliau juga adalah ahli Persatuan Sains Pengangkutan Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 6:00 AM