MENGIMBANGI tuntutan kerjaya dan kehidupan adalah perkara yang paling sukar dilakukan tatkala pandemik.
MENGIMBANGI tuntutan kerjaya dan kehidupan adalah perkara yang paling sukar dilakukan tatkala pandemik.
Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul dan Nor Hafizah Ibrahim

Konflik kerjaya dan kehidupan bukan satu fenomena baharu dalam kehidupan. Isu ini sering mendapat perhatian kerana impaknya ternyata negatif bukan sahaja ke atas individu, malah organisasi.

Tanpa disedari, konflik ini sebenarnya boleh mencetuskan emosi negatif yang menjejaskan kesejahteraan individu dan organisasi. Jika diimbas kembali sebelum pandemik melanda dunia, kesibukan di tempat kerja dikatakan sebagai pencetus konflik kerjaya dan kehidupan.

Mana tidaknya, sebahagian besar masa diperuntukkan untuk kerja. Ini belum lagi dihitung masa perjalanan pergi dan balik dari pejabat. Tuntutan kerja dan keperluan mengharungi kesesakan lalu lintas bukan sahaja membataskan masa untuk kehidupan, malah turut mengakibatkan keletihan mental dan fizikal.

Justeru, keterbatasan waktu di rumah mengakibatkan segenap aspek kehidupan terabai. Situasi ini boleh menyebabkan perkembangan anak-anak terganggu serta kecenderungan wanita untuk berhenti kerja.

Pandemik Covid-19 menyaksikan majoriti pekerja Bekerja Dari Rumah (BDR), manakala pelajar mengikuti pembelajaran di rumah. Menerusi sistem BDR, rumah menjadi lokasi atau premis utama bekerja secara maya.

Jika dahulu, kita berasakan keterbatasan waktu untuk bersama keluarga, namun kini, ibu bapa dan anak berkongsi lokasi yang sama untuk bekerja dan belajar. Justeru, tiada lagi sempadan atau batasan antara rumah dan tempat kerja. Keadaan ini menimbulkan pelbagai konflik kehidupan dan kerjaya serta menjejaskan kualiti kesejahteraan psikologi individu.

Menerusi BDR, tugasan rumah dan pejabat perlu diiurus serentak. Sebagai contoh, aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) anak-anak perlu dipantau agar mereka tidak leka atau ketinggalan. Belum lagi keperluan untuk menyediakan pakaian, makan, minum dan sebagainya.

Justeru, fokus terhadap kerja juga turut terganggu kerana keperluan untuk melayan kerenah dan keperluan anak-anak tatkala dalam masa bekerja.

Pada masa sama, pelbagai mesej dan arahan diterima tanpa mengira masa menerusi pelbagai aplikasi teknologi komunikasi. Di samping itu, perubahan cara kerja perlu diadaptasi segera dan adakalanya menimbulkan isu kekaburan dan konflik peranan.

Ada masanya, isu teknikal juga perlu dikendalikan sendiri seperti kerosakan alat peranti, gangguan rangkaian internet, masalah sistem dan sebagainya. Keadaan stesen kerja yang kurang kondusif kerana ruang rumah yang terhad turut menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan ahli keluarga.

Semua situasi di atas akan mengundang pelbagai impak negatif. Ia boleh menyebabkan keletihan emosi kerana banyak perkara yang perlu difikirkan serentak.

Bagi meminimumkan impak negatif konflik kerjaya dan kehidupan, langkah untuk meningkatkan kesejahteraan emosi individu perlu dipraktikkan.

Antaranya, adalah melakukan perancangan dan menyediakan jadual aktiviti harian bagi memudahkan rujukan berhubung tugasan kerja dan rumah yang perlu diselesaikan.

Sebaiknya, wujudkan petunjuk prestasi atau KPI yang jelas bagi setiap proses kerja dan tugasan bagi meminimumkan kekaburan dan kebimbangan. Selain itu, ruang kerja yang selesa juga perlu disediakan.

Komunikasi bersama pasangan dan anak juga penting bagi meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab masing-masing. Dalam hal ini, jadual PdPR anak-anak juga boleh disediakan untuk melatih mereka berdikari.

Sejujurnya, mengimbangi tuntutan kerjaya dan kehidupan adalah perkara yang paling sukar dilakukan tatkala pandemik. Meluangkan sedikit masa dengan keluarga membuatkan seseorang rasa bersalah, stres dan menimbulkan dilema dalam diri kerana sudah mengabaikan pasangan dan anak-anak. Terlalu sedikit tumpuan dan usaha di tempat kerja pula menimbulkan kebimbangan yang perkembangan kerjaya akan tergugat dan peluang perkembangan kerjaya yang terbantut.

Oleh kerana kedua-dua elemen dianggap sama penting, ramai beranggapan bahawa peranan dan masa perlu diberikan sama banyak untuk kedua-duanya.

Keupayaan seseorang individu menikmati empat aspek kehidupannya iaitu kerjaya, keluarga, rakan-rakan dan diri sendiri adalah sesuatu yang subjektif. Namun, begitu, apabila berdepan realiti dan terpaksa membuat pilihan antara kerja dan keluarga, akan berlaku tiga situasi berbeza.

Pertama, ada individu memilih kerja berbanding keluarga.

Kedua, ada yang mengutamakan keluarga dan yang terakhir, ingin menjadi ideal dan mengakui bahawa mereka mementingkan kedua-duanya.

Hakikatnya, melihat kepada perkembangan persekitaran kehidupan masa kini, ada kalanya penulis berasakan keseimbangan kerja dan keluarga adalah satu mitos semata-mata, tetapi tidak mustahil untuk dicapai jika kena gayanya.


Penulis Dekan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Timbalan Pendaftar Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 6:00 AM