ORANG ramai bersorak ketika Trump berucap di perhimpunan kempen di Pensacola, Florida, Amerika Syarikat pada 23 Oktober lalu. FOTO EPA
ORANG ramai bersorak ketika Trump berucap di perhimpunan kempen di Pensacola, Florida, Amerika Syarikat pada 23 Oktober lalu. FOTO EPA
Syah Rul Aswari Abdullah

Ketika artikel ini ditulis, kurang empat hari lagi rakyat Amerika Syarikat (AS) akan mengundi siapa yang akan menerajui negara itu untuk empat tahun akan datang. Hanya dua calon, sama ada mahu mengekalkan Presiden Donald Trump atau memilih pencabarnya, Joe Biden.

Namun, sejak sebulan lalu, ada satu lagi nama menjadi perhatian ramai iaitu Prof Allan Lichtman.

Siapa lelaki ini dan apa kaitannya dengan pilihan raya presiden AS?

Bagi pemerhati politik dan media, beliau adalah 'tukang nujum' paling berpengalaman dalam meramalkan kemenangan calon presiden.

Sejak 1984, ahli akademik ini berjaya meramal dengan tepat calon yang menang pilihan raya presiden. Sepanjang tempoh berkenaan, beliau berjaya meneka kemenangan sembilan calon presiden.

Lichtman meramalkan kemenangan Ronald Reagan dua tahun sebelum kemenangan individu itu.

Malah, beliau juga meramalkan Barack Obama dilantik semula untuk penggal kedua pada 2016, meskipun ramai pada mulanya tidak yakin dengan ramalan itu.

Justeru, siapa calon yang dipilih Lichtman pada tahun ini?

Dalam memilih pemenang, Lichtman menerusi temu bual dengan Al-Jazeera berkata, beliau menolak keputusan tinjauan pendapat, kaji selidik atau undi dalam talian, sebaliknya menegaskan ia bergantung sepenuhnya terhadap prestasi peribadi calon.

Melalui pengalamannya, beliau mencipta apa yang dikatakan sebagai 13 Kunci ke Rumah Putih.

Jika seseorang calon 'hilang' enam daripada 13 kunci, Lichtman berpendapat bahawa individu berkenaan tidak akan dilantik sebagai presiden.

Kunci Pertama adalah prestasi parti pada pilihan raya pertengahan penggal. Ia merujuk kepada pilihan raya di tengah penggal seseorang presiden.

Menurut Lichtman, parti Trump iaitu Republikan tidak menunjukkan prestasi cemerlang.

Kunci Kedua adalah pencalonan parti di mana Trump tidak mempunyai masalah apabila sebulat suara dicalonkan sebagai calon presiden mewakili Parti Republikan.

Trump juga mempunyai kelebihan pada Kunci Ketiga iaitu penyandang kepada jawatan presiden.

Bagi Kunci Keempat iaitu ekonomi jangka pendek, Trump dilihat gagal kerana AS kini berdepan kemelesetan ekonomi susulan penularan Covid-19.

Selain itu, untuk Kunci Kelima iaitu ekonomi jangka panjang, Trump juga dilihat tidak mempunyai pelan untuk negara itu yang terkesan akibat pandemik berkenaan.

Untuk Kunci Keenam iaitu perubahan dasar, Lichtman mendakwa Trump tidak berdepan masalah kerana memperkenalkan banyak polisi berbanding pentadbiran terdahulu.

Lichtman, bagaimanapun, amat teruja apabila membincangkan mengenai Kunci Ketujuh iaitu Skandal.

Menurutnya, Trump 'melakar' sejarah apabila menjadi antara tiga presiden yang pernah berdepan tindakan pendakwaan, selepas Andrew Johnson dan Bill Clinton.

Bagaimanapun, semua tuduhan terhadap Trump digugurkan oleh Senat.

"Ini belum lagi dikira dengan skandal lain," katanya.

Bagi Kunci Kesembilan adalah paling menarik iaitu pergolakan sosial.

Menurut Lichtman, Trump gagal mengawal protes yang tercetus di seluruh AS. Ini terutama dengan beberapa siri demonstrasi bagi membantah apa yang dikatakan sebagai diskriminasi dan keganasan polis terhadap individu berkulit hitam.

Untuk Kunci Ke-10 iaitu tiada kegagalan dasar luar negara dan ketenteraan, Lichtman berpendapat bahawa polisi AS berhubung Korea Utara, Syria dan negara Timur Tengah ternyata sia-sia.

Beliau berkata, Trump juga gagal 'mendapat' Kunci Ke-11 berhubung kejayaan dasar luar negara dan ketenteraan. Menurut Lichtman: "Ya, beliau (Trump) membunuh Jeneral Iran, Qasem Soleimani, namun saya yakin 99 peratus rakyat AS tidak kenal siapa Soleimani. Ia bukan seperti membunuh Osama Bin Laden."

Bagi Kunci ke-12 iaitu penyandang mempunyai inspirasi dan berkarisma, Lichtman berpendapat bahawa Trump mempunyai tarikan, tetapi hanya menarik segelintir elector atau pemilih.

Justeru, beliau berpendapat bagi Kunci ke-13 iaitu sama ada pencabarnya mempunyai inspirasi dan berkarisma: "Joe Biden memiliki empati, tetapi bukanlah Barack Obama ataupun John F Kennedy."

Sehubungan itu, beliau menyimpulkan Trump gagal mendapat tujuh daripada 13 kunci ke Rumah Putih, sekali gus tidak akan dilantik sebagai presiden untuk penggal kedua.

Pada tahap ini, 13 kunci oleh Lichtman ini adalah penanda terbaik untuk meramal kemenangan Biden namun teka-teki siapa Presiden AS berikutnya hanya akan terjawab pada malam Selasa ini.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 7:15 AM