FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Maiamalina Mohamed Amin

Bergaya ranggi ilham daripada fesyen terkini, dua gadis kecil molek melangkah perlahan menghampiri seorang rakan mereka yang sedia menunggu di meja sudut tepi, sebuah kafe di ibu negara.

Tidak besar dan tidak juga terlalu kecil kafe itu, tapi cukuplah untuk memuatkan sekitar tujuh ke 10 meja dengan empat kerusi di setiap meja. Tempat duduk dipilih tiga sekawan itu agak strategik kerana lebih privasi. Privasi pun disebabkan kedudukannya sedikit tersorok, bukan bermakna perbualan mereka tidak didengari penghuni meja sebelah.

Sebab itu, saya juga sempat menangkap beberapa butir perbualan mereka. Menarik juga topik dibincangkan generasi Z itu, walaupun telefon pintar tidak lekang dari tangan dan ada ketikanya bercakap pun tidak memandang wajah orang di depan. Mungkin kerana berbual sambil mahu berkongsi maklumat carian di telefon pintar. Ketika itu mereka sibuk berbual isu usahawan wanita muda menyaman seorang netizen kerana memfitnahnya.

Satu Malaysia tahu kes itu yang berlaku pada September ini juga, dalam beberapa hari lalu. Tapi, yang menarik perhatian saya, perdebatan tiga sekawan itu. Dua daripada mereka simpati dengan nasib netizen (defendan) yang disaman kerana menganggap tindakan ahli perniagaan (plaintif) sebagai cuba menarik perhatian. Namun, seorang lagi berpendapat plaintif mempunyai hak untuk mengemukakan saman fitnah itu kerana apa yang disiarkan defendan di akaun media sosialnya keterlaluan.

Tidak pasti sama ada sokongannya itu bersandarkan kefahaman terhadap batas hak dan kebebasan bersuara di media sosial atau kerana plaintif sumber inspirasinya. Maklumlah dia pun menggayakan selendang daripada jenama keluaran plaintif. Saya pula tidaklah berminat untuk masuk campur debat itu, tetapi lebih menilai isu berkenaan secara keseluruhan.

Bukan kes pertama dalam negara, individu mengemukakan saman fitnah ke atas individu lain, gara-gara kenyataan dikeluarkan di media sosial. Malah, semakin mahir pula orang zaman ini terhadap Akta Fitnah 1957 yang membenarkan saman mengikut perundangan sivil dan Seksyen 499, Kanun Keseksaan yang mengkelaskan fitnah sebagai satu jenayah.

Jika imej sudah tercalar, tentunya jadi hak seseorang untuk memilih cara sesuai bagi membersihkan namanya kembali. Tetapi, penekanan saya adalah bagaimana kita selaku rakyat Malaysia yang punya ketamadunan tinggi untuk saling beradab antara satu sama lain dalam melontar kata di media sosial. Adab ini kunci utama yang membentuk peribadi baik.

Ajaran Islam sendiri menyeru ibu bapa membentuk adab anak ketika masih kecil dan adab mengikat kod kelakuan dan kehidupan seharian kita. Mahu memakai pakaian pun ada adabnya, inikan pula adab berkomunikasi waima bersemuka atau secara virtual. Memanglah tiada buku panduan adab media sosial, tapi takkanlah kita buta hati dalam menentukan apa cara baik untuk berkomunikasi di media sosial.

Tentu tidak sedap di telinga apabila menonton video menunjukkan kita sedang marah, maki hamun atau mengutuk peribadi seseorang. Tidak seronok juga kita membaca bait komen pengguna media sosial yang mempertikaikan fizikal seseorang atau 'body shamming'.

Semua ini bukannya tidak berlaku, sebaliknya bersepah di Facebook mahupun Instagram atau Twitter. Inilah juga pencetus kepada fitnah yang mendorong mangsa untuk menyaman. Kalau kita menolak tentera bawang (di media sosial) kerana kelantangan mereka, pemfitnah pula lebih teruk kerana boleh bawa porak-peranda. Hukum fitnah itu jelas haram dan ditegah, malah dikecam keras oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadis yang bermaksud, "Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)." [Riwayat al-Bukhari dan Muslim] Saya percaya agama lain pun menolak fitnah.

Tidak ada baiknya fitnah ini kepada pembentukan masyarakat. Sebab itulah kita kena beradab ketika melontar kata, supaya tidaklah melampaui batas hingga cenderung kepada fitnah. Kebebasan bersuara boleh, tapi perlu ada adab, juga batasnya. Bukan semberono bercakap, tapi akhirnya memakan diri. Fikir dulu sebelum bercakap, atau jika tiada perkara baik untuk diucapkan, lebih baik diam saja.

Kalau kerajaan sibuk dengan tagline 'tidak tahu jangan kongsi' bagi memerangi penyebaran berita palsu, tidak salah jika ditambah satu lagi iaitu 'jaga adab, jaga bahasa' untuk pengguna media sosial.

Saya fikir ini sesuai untuk kita didik masyarakat Malaysia supaya dapat mengurangkan perbalahan di media sosial. Kes saman menyaman pun susut dan paling penting anda jadi pengguna media sosial yang menyebarkan aura positif, bukannya sia-sia. Tidak rugi pun jadi orang beradab. Jangan kerana mulut badan binasa.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 8:01 AM