ROSYAM bersama
ROSYAM bersama
Ridzuan Abdul Rahman


MULA diperkenalkan sewaktu kempen TV9, Janji Happy pada 9 September tahun lalu, program Sembang Viral ternyata mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Justeru program yang dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor ini diteruskan lagi untuk musim kedua dengan jenama Sembang Viral Mega.

Rosyam berkata, Sembang Viral Mega yang berdurasi 60 minit mula menemui penonton TV9 pada 28 Mac lalu dan akan berakhir pada 25 April ini.

"Saya pun tak sangka Sembang Viral yang mulanya satu kapsul 10 minit setiap hari jam 7.30 malam di TV9 menjadi perhatian yang begitu besar dan kemudian pihak TV9 berbincang mengadakan program istimewa untuk Ramadan. Program yang kini disiarkan setiap Isnin, jam 9.30 malam ini menampilkan saya bersama ustaz dan selebriti jemputan mengupas serta membincangkan isu semasa yang tular di media sosial daripada perspektif agama Islam secara santai.

"Tak dinafikan banyak perkara tular berlaku menerusi media sosial. Warganet sebenarnya ada hak. Kalau dulu, kita ada surat khabar. Nak masuk surat khabar adalah sukar kecuali ada berita tertentu seperti kemalangan dan sebagainya. Namun hari ini setiap individu namanya manusia di atas muka bumi ini ada 'surat khabar' sendiri dan mereka tiada penyunting atau 'editor'. Mereka yang perlu sunting sendiri.

"Tapi kadangkala ada juga perkara yang disebarkan menerusi media sosial itu menjadi tular kerana mengundang orang masuk dan akhirnya ada yang keluarkan komen yang sebenarnya dia marah orang itu tapi komennya itu juga mengundang dosa," katanya.

Menurutnya komen sebegini juga jika tersilap langkah boleh membawa 'bala' terhadap individu terbabit.

"Kena

ingat kita marahkan orang itu. Tapi kena tengok apa cara komen. Jadi kita panggil ustaz untuk tahu apa sepatutnya adab kita kerana setiap manusia ada adabnya.

"Kami bukan nak hentam orang. Kita bercakap perkara tular dan perbetulkan adab menggunakan media sosial," katanya.

Antara isu yang diketengahkan ialah segala-galanya dalam kehidupan perlu ditonjolkan kepada masyarakat menerusi media sosial. Perlu atau tidak?

"Atau perlu ada 'reserved' kerana Rumahku Syurgaku. Atau ada juga dipanggil 'aurat rumah tangga'. Jangan kita ingat aurat itu hanya pada pakaian kita tapi rumah tangga juga ada aurat.

Kupasan ustaz, selebriti jemputan mengenai
Kupasan ustaz, selebriti jemputan mengenai

"Kalau kita tengok, segala-galanya nak tunjuk kecuali mandi dan dalam bilik tidur. Yang lain semua dah tunjuk. Mungkin suatu hari nanti akan ditunjuk juga. Ini dah berlaku di negara Barat. Jadi, maruah dan aurat mesti dijaga terutama yang dah berkeluarga. Isu yang dipetik ialah isu semasa.

"Ketika ini bukan sahaja orang lain, kadang-kadang diri kita juga terjerumus dalam satu zaman yang Rasulullah berkata, akhir zaman adalah zaman fitnah," katanya.

Jelas Rosyam, setiap orang mempunyai akaun media sosial yang akhirnya masing-masing menulis sesuka hati.

"Kandungan yang kita masukkan dalam media sosial akan kekal hingga hari kiamat. Jadi ramai antara kita yang mungkin tak sedar bagaimana daripada segi hukumnya.

"Akhirnya Sembang Viral Mega menjemput beberapa ustaz untuk bersembang santai memperingatkan diri kita dan penonton menunjukkan walaupun sekarang zaman media sosial tapi kita perlu ingat-mengingati.

"Alhamdulillah isu yang dibangkitkan dalam program ini membawa pemikiran baharu untuk orang berfikir, adakah media sosial membawa impak dalam kehidupan atau apakah media sosial ada kebaikan atau keburukan? Kerja kami di Sembang Viral Mega membincangkan isu yang tular dalam keadaan semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 3:27 PM