ADAB tidak mengenal usia atau latar belakang.
ADAB tidak mengenal usia atau latar belakang.
Syafil Syazwan Jefri

Adab. Perkataan dengan empat aksara ini nampak ringkas dan mudah. Namun semakin hari semakin ramai yang mula melupakan erti adab.

Bagi kita masyarakat Timur, adab adalah perilaku atau didikan yang dipupuk sejak kita masih kecil oleh ibu bapa, seterusnya membentuk jati diri kita ketika dewasa.

Adab tidak mengenal usia atau latar belakang. Tua, muda, miskin, kaya atau dari apa darjat sekali pun, adab patut menjadi teras dalam diri seseorang manusia.

Bercakap mengenai adab, saya masih ingat perkongsian daripada seorang artis veteran yang berkongsi pengalaman mengenai adab yang semakin hilang.

Industri seni tanah air itu umpama satu keluarga besar yang masing-masing sepatutnya hormat-menghormati antara satu sama lain.

Namun mungkin disebabkan beberapa perkara, ada artis baharu yang bersikap biadab, umpama tidak pernah belajar erti adab dan hormat.

Walaupun sudah puluhan tahun beraksi dalam industri hiburan, itu kali pertama artis veteran berkenaan bersua muka dengan artis baharu yang tidak beradab sebegitu.

"Terlalu kurang ajar!" luahnya.

Adakah kerana nama berada di puncak, seseorang itu mendapat pengecualian untuk bersikap kurang ajar?

Adakah kerana ramai pengikut di media sosial menjadikan adab tidak lagi dipandang? Atau mungkin kerana terlalu obses dengan artis pujaan mereka, peminat pun turut dibutakan sampai tak nampak sikap kurang ajar itu?

Saya sendiri terkedu apabila artis veteran itu berkongsi mengenai perkara ini, namun tidak terkejut kerana artis baharu terbabit sudah beberapa kali dilihat sebagai artis yang gemar membikin masalah.

Tidak pasti di mana silapnya. Mungkin didikan keluarga atau mungkin pengurusan yang gagal.

Bercakap mengenai adab, saya sendiri juga pernah berdepan isu tidak beradab lebih-lebih lagi daripada 'golongan kayangan'.

Namun buat apa nak peningkan kepala? Jadi, saya abaikan saja. Kalau kita tegur pun, tak mungkin golongan yang kononnya berdarjat tinggi ini akan mendengar.

Itu di dunia nyata. Dalam dunia digital juga, tidak kurang hebatnya apabila adab nampaknya semakin kurang diguna pakai.

Tak perlu lihat jauh. Pergi saja di ruangan komen Instagram mana-mana selebriti atau ikon. Mesti akan ada haters yang menulis kecaman dan hinaan walaupun artis itu tidak pernah buat salah terhadap mereka.

Kalau ada yang tahu, platform digital atau media sosial baharu, Clubhouse mula mengumpul jumlah pengguna dan semakin hari semakin ramai.

Secara ringkasnya, ia sama seperti platform media sosial lain menggunakan kaedah dua hala, namun menampilkan perbualan suara secara langsung dalam ruang bual bicara secara virtual.

Di situ ramai yang menjadikannya sebagai tempat untuk berkongsi pendapat mengenai pelbagai isu.

Dari isu politik, negara, kekeluargaan, perniagaan, kewangan, selebriti, bahkan turut menjadi tempat hiburan.

Saya sendiri juga sering kali menjadikannya sebagai platform untuk mendengar bakat terpendam dalam bidang nyanyian, untuk menyanyi dengan rasa yakin menerusi ruang bicara ala open mic.

Banyak juga maklumat yang saya dapat dari situ contohnya, ada yang berkongsi bahawa ada halangan untuk mereka mengembangkan bakat nyanyian mereka antaranya tentangan daripada keluarga.

Namun platform media sosial apa sekalipun, sekiranya digunakan secara tidak berhemah dan tidak beradab, boleh menimbulkan salah faham serta perbalahan.

Pernah saya sertai satu ruang bual bicara sebagai pendengar dan berlaku pertelingkahan kecil di dalamnya.

Puncanya adalah, bahasa yang digunakan moderator sedikit kasar dan mungkin disalah erti oleh tetamu undangannya atau digelar sebagai speaker.

Setiap apa yang kita tuturkan di platform media sosial adalah suara yang mewakili siapa diri kita. Kalau tersalah langkah, orang akan menilai diri kita sebagai orang yang tidak 'cerdik' untuk berkata-kata.

Sebab itu ini semua perlu berbalik kepada adab. Dalam berbicara kepada sekumpulan orang yang kita sendiri tidak kenal secara peribadi, kita perlu berhati-hati.

Ada orang yang mungkin boleh bergurau kasar, tapi ada juga yang hatinya lebih sensitif kerana latar belakang dan pengalaman setiap orang yang berbeza-beza.

Kerana itu, jaga adab kita walau di mana pun kita berada tidak kira sama ada dalam dunia nyata mahu pun dunia maya.

Penulis wartawan hiburan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 6:15 AM