DR Wan Abdul Hannan bersama John Kerry.
DR Wan Abdul Hannan bersama John Kerry.
Nurul Husna Mahmud

SEHINGGA hari ini Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospitals Beyond Boundaries (HBB), Dr Wan Abdul Hannan Wan Ibadullah tidak menyangka dia mampu merealisasikan pembinaan sebuah hospital.

Katanya, memiliki dan menguruskan hospital yang beroperasi di Phnom Penh, Kemboja sejak 2012 dalam memberikan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat miskin di negara itu terutama komuniti Muslim Champa bukanlah sumbangan kecil sebaliknya misi bertaraf antarabangsa.

Reputasi anak muda berusia 30 tahun ini tidak saja menarik perhatian pemimpin tertinggi negara berkenaan, malah mendapat penghormatan dunia iaitu Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang mengiktiraf sumbangan HBB pada 2016.

Katanya, kalau menyoroti perjalanan beliau tujuh tahun dulu, hasratnya ketika itu bersama seorang teman, Dr Mohd Lutfi Fadil Lokman untuk membina hospital dipandang remeh bagi segelintir pihak.

MAHU pertingkatkan fasiliti kesihatan supaya dapat membantu komuniti memerlukan. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
MAHU pertingkatkan fasiliti kesihatan supaya dapat membantu komuniti memerlukan. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria

Namun, ia diperkuatkan menerusi pertemuan dengan seorang aktivis berbeza agama yang menceritakan mengenai keadaan masyarakat Champa lalu melakukan kunjungan pertama pada 2012.

“Tidak dinafikan sewaktu saya menyatakan hasrat pada orang awam mahupun kenalan, saya lebih banyak menerima kritikan termasuklah ada yang mempertikaikan kapasiti saya ketika itu yang masih bergelar pelajar perubatan tidak selayaknya memikirkan untuk membina hospital.

“Apatah lagi hospital itu di negara asing. Bagaimanapun ia tidak hentikan hasrat saya ketika itu yang berkobar-kobar hendak berbakti kepada golongan memerlukan selepas saya dan Dr Mohd Lutfi pulang dari Mumbai, India.

KETIKA pembelian pertama kontena untuk diguna sebagai klinik HBB.
KETIKA pembelian pertama kontena untuk diguna sebagai klinik HBB.

“Sistem operasi hospital itu merupakan inisiatif kerajaan India dalam memperkasakan komuniti selain menaik taraf kualiti kesihatan awam yang saya lihat sebagai model yang berjaya.

“Meskipun itu adalah kunjungan yang singkat, tetapi saya terfikir jika model sama digunakan dalam pembinaan fasiliti kesihatan awam di lokasi yang disasarkan memiliki masyarakat kurang berkemampuan serta susah, pastinya ia dapat memberi manfaat.

“Perjalanan pembinaan hospital itu dipermudahkan apabila menemui seorang ustaz yang aktif dalam kerja amal ke negara itu. Beliau jugalah yang memperkenalkan saya kepada komuniti itu yang mengharapkan satu hospital mesra Muslim didirikan.

LAWATAN ke Hospital Calmette di Kemboja bersama Dr Mohd Lutfi Fadil Lokman.
LAWATAN ke Hospital Calmette di Kemboja bersama Dr Mohd Lutfi Fadil Lokman.

“Waktu itu cita-cita saya dan teman agak besar iaitu mahu hospital di negara asing dan berasakan ia sesuai dimulakan di Kemboja. Saya masih ingat waktu itu jangkaan kos yang diperlukan sekitar RM1 juta untuk memiliki hospital umum dengan fasiliti yang sesuai.

“Dorongan cita-cita besar itu datang daripada keluarga dan kenalan yang membantu memberi dana iaitu bermula dengan tiga kontena menempatkan klinik pesakit luar sehinggalah berdikit-dikit kepada hospital bagi pembedahan seperti hernia dan terbaru sumbing bibir dan lelangit,” katanya.

KETIKA satu misi kemanusiaan.
KETIKA satu misi kemanusiaan.

Pembinaan hospital itu menyebabkan namanya semakin dikenali dan tidak hairanlah Dr Wan Abdul Hannan pernah dijemput sebagai pembentang dalam persidangan dunia, SAP Regional CEO Summit tahun lalu di hadapan mantan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry serta Ketua Pegawai Eksekutif SAP SE, Bill McDermott.

Mengenai karier dalam perubatan pula, kata Dr Wan Abdul Hannan, sejak kecil lagi dia sudah menyimpan impian untuk menjadi doktor dan minat itu disuburkan dengan kejayaan kakaknya, Wan Hafsah.

“Ibu bapa tidak pernah memaksa anak-anak untuk menjadi seperti yang mereka inginkan.

“Apa yang penting ialah saya belajar dan mencari kerjaya yang boleh menjamin masa depan. Masa kecil dulu dari usia tujuh hingga sembilan tahun saya memang sering ke Hospital Pusrawi, Jalan Pahang untuk menjalani rawatan asma, jadi saya terbiasa dengan suasana di hospital.

KETIKA menyertai persidangan di Mexico pada 2015.
KETIKA menyertai persidangan di Mexico pada 2015.

“Kesihatan amat penting dan hanya dengan menjadi doktor saya boleh merawat penyakit sendiri. Apabila belajar di sekolah menengah, saya sering lihat kakak merawat orang dan beliau seronok dengan kerjanya yang kini menjadi pakar bius di Hospital Selayang. Semua ini menjadi perangsang saya untuk mengikuti jejak langkah beliau.

“Masa di sekolah rendah, saya hanyalah pelajar biasa tetapi sebaik masuk sekolah menengah saya mula serius dan fokus ingin bergelar pakar perubatan awam. Ketika ini saya sedang melengkapkan pengajian dalam peringkat doktor falsafah dalam Perubatan Awam di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM),” katanya.

BERSAMA sukarelawan HBB di Pulau Perhentian ketika sambutan Merdeka.
BERSAMA sukarelawan HBB di Pulau Perhentian ketika sambutan Merdeka.

Pernahkah beliau terasa hampir berputus asa bergelar pakar perubatan mahupun menjayakan HBB? Katanya, pernah beberapa kali dia terfikir untuk ‘menyerah kalah’ kerana laluan profesion yang dipilihnya itu tidak mudah.

“Pernah banyak kali terfikir untuk berhenti tetapi apabila sudah terbabit dengan kerja kemanusiaan dan mula berhubung dengan pesakit, rasa penat dan tertekan hilang serta-merta.

“Saya sentiasa terima maklum balas daripada staf HBB mengenai pesakit dan keluarga yang sering berterima kasih serta meluahkan rasa terhutang budi di atas sumbangan hospital itu.

“Bahkan ada keluarga pesakit yang bertemu saya hanya untuk mengucapkan terima kasih. Antara kenangan yang tidak boleh dilupakan sepanjang berkecimpung dalam profesion sebagai doktor ialah ketika saya jalani latihan kerja di Hospital Kuala Lumpur.

BERSAMA sukarelawan HBB.
BERSAMA sukarelawan HBB.

“Pesakit pertama adalah seorang wanita hamil dan saya perlu memeriksa bukaan rahimnya yang ketika itu sudah tiba waktu untuk dia bersalin. Saya ‘diserang’ suami yang tidak mahu isterinya dirawat doktor lelaki. Tetapi keadaan ketika itu sangat mendesak kerana kepala bayi sudah keluar menyebabkan saya terus menyambut kelahiran anaknya.

“Ketika dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat, suami wanita terbabit datang bertemu saya untuk mengucapkan terima kasih sebab selamatkan isterinya,” katanya, sebelum mendedahkan ada pesakit negara asing menamakan anak sempena nama beliau.

Mengungkap kejayaannya hari ini, katanya, rahsianya ialah dia mempunyai guru dan mentor sebagai rujukan untuk memberikan khidmat yang lebih baik sama ada dalam karier atau kerja kemanusiaan.

DR Wan Abdul Hannan bersama isteri berkunjung ke Jepun.
DR Wan Abdul Hannan bersama isteri berkunjung ke Jepun.

“Saya kagum dengan keperibadian dan kemampuan Prof Datuk Dr Lokman Saim yang bukan saja pakar telinga, hidung dan tekak yang juga pakar implan koklea negara.

“Beliau juga adalah Ahli Lembaga Pengarah HBB yang banyak membantu. Selain sukses dalam kerjaya, beliau mempunyai pesona suami dan bapa penyayang. Sikapnya yang merendah diri dan memiliki hobi unik iaitu berkebun membuatkan dia benar-benar istimewa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:31 AM