RIENA pengacara program MBuzz di TV3.  FOTO Aziah Azmee dan Mohamad Shahril Badri Saali
RIENA pengacara program MBuzz di TV3. FOTO Aziah Azmee dan Mohamad Shahril Badri Saali
Ramlah Zainal


Watak Lailer yang periang dan 'gila-gila' dalam drama bersiri popular Kampung People turut melonjakkan nama pelakon berbakat besar, Riena Diana dalam bidang lakonan.

Menurut Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamarina Diana Zulreal, 25, watak Lailer bergandingan dengan pelakon kacak Hun Haqeem dalam drama itu juga membuatkan namanya terus diingati peminat.

"Ramai yang tidak tahu, saya sebenarnya seorang yang pemalu jika di luar lokasi penggambaran atau depan kamera. Watak Lailer yang periang dan 'gila-gila' sekadar memenuhi tuntutan watak.

"Bila drama bersiri Kampung People berakhir, saya kembali menjadi diri sendiri," katanya pada majlis prakemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-35, baru-baru ini.

Ditanya ada yang mendakwa dirinya sombong pula, kata Riena, memang ada segelintir peminat yang menganggap dirinya sedemikian.

"Ada segelintir yang cakap saya sombong, tetapi hakikatnya bila orang tegur, saya selalunya jawab dan senyum sahaja bila berjumpa di luar," katanya.

Mengenai watak diimpikan pula, kata Riena, dia mahu melakonkan watak berat dan antagonis.

"Sebagai pelakon, saya mahu mencuba pelbagai watak sebagai variasi dalam lakonan.

"Namun, saya sukar atau tidak diberi peluang dapat watak yang lain dari komedi romantik kerana produser dan pengarah susah nak percaya saya boleh bawa watak berbeza.

"Memang saya suka bawa watak komedi kerana tidak ada tekanan di lokasi, tetapi pada masa sama, saya mahu mencuba watak lain juga," katanya.

Mengenai babak panas pula, kata Riena, dia tiada masalah melakonkan babak itu mengikut keperluan watak.

RIENA bersama hos ABPBH ke-35, Johan (kiri) dan pengacara majlis, Muaz ketika majlis prakemuncak ABPBH ke-35. FOTO Aziah Azmee dan Mohamad Shahril Badri Saali
RIENA bersama hos ABPBH ke-35, Johan (kiri) dan pengacara majlis, Muaz ketika majlis prakemuncak ABPBH ke-35. FOTO Aziah Azmee dan Mohamad Shahril Badri Saali

"Saya akan tengok dulu babak panas yang diminta macam mana.

"Kalau setakat baring atas katil saya boleh terima, tetapi jika berpelukan atas katil saya terpaksa menolaknya," katanya.

Bagaimanapun, kata Riena, dia pernah melakonkan babak panas dengan pelakon Aidil Aziz dalam drama romantik komedi tahun lalu.

"Aidil juga mendukung saya dan letak atas katil dalam cerita itu.

"Namun, babak panas itu tidak kontroversi seperti drama Perempuan Itu kerana belum zaman viral (tular) seperti sekarang," katanya.

Walaupun sudah lebih lima tahun berlakon, kata Riena, dia masih sanggup menghadiri proses uji bakat untuk mendapat watak diidamkan.

"Saya tidak kisah untuk pergi uji bakat untuk sesuatu watak itu walaupun orang cakap saya sudah popular.

"Malah, ada kalanya saya juga kena 'reject' oleh pengarah ketika proses uji bakat terbabit. Saya anggap tiada rezeki kerana yang penting kita sudah mencubanya.

"Contohnya, saya dapat tawaran sebagai pengacara program MBuzz di TV3 sebelum ini pun menerusi proses uji bakat dan saya tengok ramai juga yang menghadiri uji bakat berkenaan," katanya.

Antara projek drama baharu lakonannya pula ialah drama bersiri Gadis dan Angan serta drama Boleh Saya Bantu untuk stesen TV3.

Mengenai ABPBH35 pula, kata Riena, dia berasa terharu kerana diberi kepercayaan sebagai hos untuk acara karpet merah.

Bekas penyampai radio Hot FM itu bakal bergandingan dengan penyampai radio Hot FM, Fizi Ali pada acara berprestij itu.

"Saya bersyukur kerana masih diberi kepercayaan walaupun sudah meninggalkan Hot FM lebih lapan bulan lalu kerana mahu fokus pada bidang lakonan.

"Saya tidak akan lepaskan peluang keemasan ini dan berusaha melakukan yang terbaik nanti.

"Saya juga akan tampilkan karakter periang dan gila-gila seperti watak Lailer pada acara karpet merah nanti kerana itu yang peminat suka," katanya.

Mengenai gandingan dengan Fizi pula, kata Riena, dia gembira dapat bergandingan dengan pengacara berpengalaman seperti Fizi.

"Saya juga banyak merujuk di laman You Tube sebagai persediaan mengendalikan acara karpet merah nanti.

"Selain Fizi, saya juga akan merujuk pada pengacara Ain Edruce kerana dia lebih berpengalaman dalam bidang pengacaraan," katanya.

RIENA masih sanggup hadir uji bakat untuk lakon watak diidamkan, namun anggap tiada rezeki jika ditolak pengarah. FOTO Aziah Azmee dan Mohamad Shahril Badri Saali
RIENA masih sanggup hadir uji bakat untuk lakon watak diidamkan, namun anggap tiada rezeki jika ditolak pengarah. FOTO Aziah Azmee dan Mohamad Shahril Badri Saali

Kembali bersama bekas kekasih

Mengulas hubungan dengan bekas kekasih, Nik Afiq, Riena mengakui hubungan cinta mereka sudah kembali terjalin ketika ini.

Menurut Riena, buat masa ini mereka lebih selesa dalam fasa berkawan dan dalam proses mengenali hati budi terlebih dulu.

"Maklumlah usia saya masih muda dan masih banyak yang mahu diteroka dalam bidang seni.

"Bukan hubungan kami tidak serius sebaliknya banyak yang saya mahu capai dalam karier seni dulu," katanya.

Kata Riena, Nik Afiq juga sanggup menunggu sehingga dia bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga.

"Setakat ini, dia faham dan kami mahu 'go with the flow.'

"Saya juga mahu tangguhkan dulu perancangan untuk berkahwin dan dia juga faham dan tidak memaksa atau beri tekanan pada saya soal kahwin ini. Bila berkahwin, peluang saya untuk mengembangkan karier lakonan agak terhad," katanya.

Terdahulu, hubungan cinta selama empat tahun yang terjalin antara Riena dan Nik Afiq termasuk perancangan untuk berkahwin berakhir pada Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 7:00 AM