Kuala Lumpur: Biarpun dilanda kontroversi panas, Ruhainies nampaknya masih mampu tersenyum dan menerima undangan pertunjukan koleksi terkini bagi sebuah jenama terkemuka.

Menerusi perkongsian sebuah portal fesyen dan gaya hidup di media sosial semalam, kelibat Ruhainies yang mengenakan baju berwarna putih mencuri tumpuan ramai di ruangan komen.

Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang dengan kehadiran pelakon itu sekali gus bertindak memboikot produk antarabangsa itu.

"Saya tidak berminat untuk melihat jenama anda seperti sebelum ini.

"Dia tidak layak untuk memperagakan jenama anda.

"Berhenti jemput Ruhainies dalam mana-mana acara. Tolong boikot dia. Susah sangat ke nak buat. Ramai lagi selebriti atau pempengaruh yang lebih layak.

"Saya tidak akan membeli produk ini disebabkan Ruhainies," tulis beberapa warganet di ruangan komen.

Hantaran yang dimuat naik itu meraih lebih 629,000 tontonan dan menerima lebih 217 komen yang rata-ratanya bengang dengan kehadiran Ruhainies dalam acara itu.

Difahamkan acara itu berlangsung semalam di Janda Baik, Pahang.

Dalam pada itu, susulan pendedahan yang dibuat kekasih gelap kepada penyanyi Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine, Ruhainies nampaknya sudah bertindak meletakkan akaun Instagram miliknya dalam mod peribadi.

Kisah Ruhainies mula menjadi panas selepas didakwa ditangkap khalwat bersama Aliff oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium mewah pada 9 Mac lalu.

Kemudian awal minggu ini Sarah tampil mendedahkan beberapa perbualan romantis antara Ruhainies dan Aliff di aplikasi WhatsApp .

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 1:31 PM