MONSTA Channel digodam
MONSTA Channel digodam
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Selepas digodam semalam, syarikat Monsta bersyukur apabila kembali mendapat akses semula akaun saluran YouTube dalam tempoh 48 jam.

Pengarah Media Monsta, Faiz Zainal Aabidin berkata walaupun masih belum dapatkan beberapa videonya, kerjasama daripada pihak terbabit sangat membantu.

"Monsta ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak YouTube dan Google atas bantuan yang diberikan. Kerjasama unit Network Monsta bersama mereka berjaya membaik pulih akses ke akaun saluran kami.

"Walaupun masih ada video-video yang hilang, kami tetap berasa sangat bersyukur insiden kali ini mampu diuruskan dalam kurang 48 jam.

"Terima kasih juga kepada peminat dan juga lain-lain pihak yang banyak membantu kami secara tidak langsung," katanya.

Faiz juga berkata Monsta sedang giat menaik taraf sekuritinya dan akses ke mana-mana akaun rasmi kian diperketatkan.

"Kami mengambil iktibar dari perkara ini dan bersetuju untuk menambah lebih banyak stesen siaran televisyen rasmi di negara-negara Asia Tenggara.

"Mungkin stesen TV tempatan atau platform penstriman rasmi seperti Netflix dan lain-lain dapat memberi lebih kestabilan penayangan dan kepercayaan kepada penonton setia Monsta," katanya.

Terdahulu, saluran Monsta Channel yang mempunyai 13.5 juta pelanggan digodam dan ditukar nama ke MicroStrategy US.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 3:42 PM