Dr Noor Hisham bersama wira animasi BoBoiBoy.
Dr Noor Hisham bersama wira animasi BoBoiBoy.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penampilan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham bersama wira animasi BoBoiBoy dalam video pesanan khidmat masyarakat yang bertajuk CAPP: Kuasa Untuk Lawan Covid-19 nyata mencuri perhatian ramai sehingga tular.

Menerusi video itu, Noor Hisham menyeru rakyat Malaysia untuk menjadi adiwira tanpa memerlukan kuasa luar biasa untuk memerangi wabak Covid-19 dengan mengamalkan CAPP iaitu 'CEGAH dari awal', 'AMALKAN norma baharu', 'PATUHI SOP' dan 'PANTAU status kesihatan'.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios (Monsta), Nizam Abdul Razak berkata, mereka sangat bersyukur apabila Noor Hisham sudi meluangkan masa untuk terbabit dalam projek terbabit.

"Cabaran utama sudah pastinya masa. Jadual Tan Sri Dr Noor Hisham seperti yang kita semua tahu begitu sibuk setiap hari. Untuk  kami dapat merakamkan suara beliau adalah sesuatu yang amat bermakna dan terima kasih kami ucapkan kepada beliau serta pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pihak Monsta merasakan ini adalah tanggungjawab kami untuk membantu KKM menyampaikan maklumat ini. Kami mahu beri kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia pentingnya mengamalkan CAPP ketika negara berdepan gelombang ketiga pandemik Covid-19," katanya. 

Video berdurasi seminit itu kini tular di pelbagai laman media sosial dengan lebih 150,000 jumlah tontonan di akaun rasmi YouTube, Facebook dan Instagram BoBoiBoy dalam tempoh 24 jam.

Video itu juga berjaya diulang ciap hampir 30,000 kali di Twitter BoBoiBoy, KKM dan pengguna lain. 

Berkongsi mengenai sambutan luar biasa itu, Nizam tidak menafikan faktor utama penyumbangnya tidak lain figura watak Noor Hisham itu sendiri.

"Kami menjangkakan video ini akan mendapat sambutan yang hangat memandangkan ini adalah kali pertama beliau tampil di kaca TV dalam bentuk animasi 3D.

"Apa yang penting adalah pesanan yang mahu disampaikan itu dapat diterima dan diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 2:41 PM