ZUL Ariffin. FOTO Aziah Azmee
ZUL Ariffin. FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Zul Ariffin menegaskan kehadiran penerbit Gayatri Su-lin Pillai menyambut Aidilfitri bersamanya adalah perkara biasa.

Zul berkata, keluarga terutama arwah ibunya, Allahyarham Robiah Nasir sudah menganggap Gayatri seperti anak sendiri.

"Dia setiap tahun akan beraya bersama keluarga saya, sudah menjadi sebahagian daripada kami.

"Sejak dulu memang mak saya sayang dia walau macam mana sekalipun. Sudah anggap seperti anaknya sendiri.

"Sebenarnya setiap tahun ada (foto raya bersama)," katanya selepas tayangan perdana filem Sheriff semalam.

Terdahulu hantaran Gayatri menyambut hari raya bersama Zul dan dua kakaknya di media sosial meraih perhatian ramai sekali gus mengundang spekulasi mengenai hubungan mereka.

Menafikan dakwaan foto menyambut hari raya bersama Gayatri menandakan hari bahagianya makin hampir, Zul meminta orang ramai memberinya ruang untuk kehidupan peribadinya.

"Cerita 'hari bersejarah' itu sudah wujud sejak lima tahun lepas tapi tak hampir-hampir pun.

"Selagi itulah saya akan beritahu apa yang orang ramai mahu dengar sebab itu bukan satu kepentingan bagi memuaskan hati masyarakat.

"Saya seorang pelakon, tidak kiralah baik atau buruk, orang pasti nak tahu tentang diri saya.

"Apa yang saya ada saki-baki kehidupan peribadi. Bukan tidak mahu kongsi dengan orang, tetapi, itulah satu-satunya yang saya ada," katanya.

Dalam masa sama, Zul menjelaskan dia tidak akan sesekali 'lari" untuk berkongsi berita gembira yang sering dinanti-nantikan ramai.

"Saya akan kongsi pada semua kalau ada berita kahwin. Saya tak doa untuk kahwin cepat tetapi minta dipermudahkan urusan, dijauhkan daripada fitnah, sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

"Saya sudah kenal dengan ramai wanita yang memiliki macam-macam perangai. Saya perlu buat pilihan yang tepat dan saya ada pilihan yang tepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 3:03 PM