ZUL bersama motosikal Ducati Hypermotard.
ZUL bersama motosikal Ducati Hypermotard.
Najiy Jefri


Memasuki hari ke-14 taya­ngan, filem aksi J Revolusi terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd dan Infinitus Productions berjaya mencatat kutipan RM4.5 juta walaupun berdepan saingan dua filem Hollywood iaitu Logan dan Kong: Skull Island.

Gembira dengan perkhabaran itu, penerbitnya Gayatri Su-Lin Pillai berkata, kejayaan membanggakan ini membuktikan masih ada harapan terhadap filem tempatan mendapat tempat di hati peminat tanah air.

“Setakat ini jumlah kutipan masih memberangsang­kan dan kami menduduki tempat ketiga di belakang dua filem Hollywood itu. Bagaimanapun, untuk filem Melayu, kami masih berada di kedudukan pertama.

“Berdasarkan maklum balas diterima, ramai sukakan filem ini terutama babak aksi dipaparkan, faktor pelakon dan jalan ceritanya yang bukan saja dramatik tetapi juga ada unsur komedi serta kekeluargaan,” katanya.

Gayatri berkata, sepanjang mengikuti siri jelajah filem ini di seluruh negara dan Singapura, dia teruja melihat kanak-kanak yang turut sama ingin merasai suasana menonton.

“Rata-rata memberikan respons baik dan sukakan setiap aksi yang dipamerkan barisan pelakon ,” katanya .

Hadiah lumayan

Penonton filem ini turut berpeluang memena­ngi sebuah kereta Mazda2 SKYACTIV Hatchback dalam Peraduan Tonton & Menang J Revolusi menerusi laman web www.jrevolusi.my.

Lebih mengujakan, pelakon utamanya, Zul Ariffin turut berbesar hati menyumbangkan motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Hypermotard miliknya kepada penonton bertuah.

Gayatri berkata, hadiah kereta berkenaan adalah model sama digunakan Azad Jasmin yang membawa watak Skodeng dalam filem ini.

“Motosikal itu pula dibeli Zul ketika menjalani penggambaran filem ini. Ia sebagai tanda terima kasih kepada penonton yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

“Sebagai syarat penyertaan, penonton perlu menonton filem ini dan jawab tiga soalan mudah disediakan. Selain itu, kami juga menyediakan peraduan sampingan lain.

“Antara hadiah ditawarkan adalah pakaian digayakan Zul seperti sepasang sut, gaun labuh berwarna biru digayakan Izara dan tuksedo yang dipakai Fazura,” katanya.

Tarikh tutup penyertaan adalah esok dan pemenang akan diumumkan dalam satu majlis khas di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 25 Mac ini.

Dalam pada itu, Zul berkata, motosikal itu dibelinya khas untuk penggambaran filem ini.

“Saya memberi cada­ngan kepada penerbit untuk menambah babak menggunakan motosikal berkuasa tinggi.

“Saya katakan daripada menyewa, lebih baik saya beli dan gunakannya. Lagipun, saya sudah lama menyimpan impian untuk memilikinya.

“Bagaimanapun, saya mahu kongsi nilai sentimental yang ada pada motosikal itu dengan menghadiahkannya kepada penonton. Bagi saya, ini antara sumbangan yang mampu saya lakukan kepada penonton dan peminat yang tidak putus menyokong perjalanan seni saya selama ini,” katanya.

Zul bangga

Sebagai pelakon utama, Zul bangga apabila J Revolusi turut ditayangkan di Singapura dan Brunei.

Filem terbabit turut mendapat sambutan di dua negara terbabit walaupun berdepan saingan filem Hollywood.

“Kebanyakan penonton di Singapura dan Brunei memuji jalan cerita J Revolusi yang sarat aksi dan nilai kekeluargaan serta persahabatan.

“Boleh dikatakan hampir 90 peratus maklum balas yang diberikan penonton sangat positif. Malah, terdapat juga peminat yang menonton sehingga tiga kali.

“Insya-Allah jika filem ini meninggalkan kesan di penonton dan mendapat sambutan yang lebih memberangsangkan, saya akan meneruskan lakonan sebagai Jay dalam filem ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 4:57 AM