Erma Fatima
Erma Fatima
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima mengakui dia 'fobia' menanti drama terbaru terbitannya, Lelaki Itu ditayangkan di TV3 pada Ramadan ini.

Menerusi perkongsian video di Instagram, Erma berkata, dia juga teringat drama Perempuan Itu terbitannya yang pernah mencetuskan kontroversi ketika ditayangkan Ramadan tahun lalu.

"Pada tahun ini, ada dua drama terbitan produksi Rumah Karya Citra akan ditayangkan di TV3 pada bulan puasa dan salah satunya drama Lelaki Itu yang juga dari inspirasi kisah benar.

"Tiap-tiap hari saya berdoa janganlah ada apa-apa kontroversi lagi sebab tak larat nak hadap," katanya yang mengarahkan drama itu bersama Along Kamaludin.

Dalam perkongsiannya lagi, kata Erma, drama Perempuan Itu mengetengahkan isu penyondol sebelum ini dan nampaknya ia sudah menjadi 'trend' kisah penyondol pula baik dalam drama mahupun realiti.

"Kali ini, dalam drama Lelaki Itu, saya petik isu lain yang orang tak pernah buat pun. Tak klise sangatlah tapi 'taboo". Saya pun seram sejuk masa tulis cerita ini.

"Cuma yang pastinya orang kata, tangan wanita yang menggoncang buaian boleh menggoncang dunia. Tapi buai yang digoncang itu dibeli oleh lelaki, tengok jenislah,"katanya.

Mengenai drama Lelaki Itu lagi, kata Erma, bukan semua lelaki itu nakal dan di sebalik kenakalan setiap manusia itu pasti ada kebaikannya.

"Bila lelaki buat hal, wanita akan salahkan lelaki saja kan, contohnya, lelaki ada 'affair' (skandal) dengan wanita lain, tak boleh bagi nafkah zahir batin.

"Lelaki kalau dia rasa tak dapat jadi lelaki dalam rumah sendiri, dia akan cari jalan lain nak tunjuk kejantanannya," katanya.

Menurut Erma, dalam hal ini, kita perlu menjadi manusia yang bertanggungjawab, tak kira lelaki atau wanita.

"Tengoklah drama Lelaki Itu dan belajar dari pengalaman dalam cerita ini di mana apabila seorang manusia tidak ada sifat tanggungjawab akan hancur semuanya.

"Kadang-kadang bila nak selamatkan diri, kita lupa tanggung-jawab itu," katanya.

Drama ini menampilkan lakonan Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Fazura, Nabila Huda, Aedy Ashraf, Hannah Delisha, Nadia Brian, Sophia Albarakbah dan Fadlan Hazim.

Drama sebanyak 30 episod ini akan mula bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat menerusi Slot Samarinda, TV3 jam 10 malam mulai 19 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 2:01 PM