ERMA FATIMA
ERMA FATIMA
Sudirman Mohd Tahir


“BAB lagu saya kena tanya dengan penyunting. Nanti saya akan uruskan dengan dia,” kata penerbit drama Bukan Cinta Aku, Erma Fatima susulan dakwaan drama itu menggunakan lagu Bukan Yang Terbaik nyanyian penyanyi baru, Adzrin tanpa kebenaran.

Perkara itu dibangkitkan pemilik syarikat pengedar lagu itu, Virtuosity Production iaitu Muhammad Wafi Abdul Shakor seperti yang disiarkan sebuah portal hari ini.

Erma yang juga penulis bagi drama yang ditayangkan di slot Akasia, TV3 itu berkata, dia tidak mengetahui lagu apa yang digunakan kecuali lagu tema iaitu Bukan Cinta Aku nyanyian Khai dan Dinie.

Erma berkata, apa yang berlaku bukanlah kontroversi yang disengajakan termasuklah beberapa kesilapan dalam drama itu yang diperkatakan warganet baru-baru ini.

“Banyak sangat kontroversi yang tidak sepatutnya. Saya buat drama bukan untuk mencipta kontroversi.

“Mengenai lagu ini, saya kena tanya dengan penyunting. Saya sendiri tak tahu lagu apa yang digunakan kecuali lagu tema,” katanya.

Sebelum timbul isu membabitkan lagu itu, drama yang menampilkan Janna Nick, Syafiq Kyle dan Baim Wong selaku watak utama itu tular ekoran kesilapan beberapa perkara.

Antaranya babak perbualan telefon Syafiq mengenai sebut harga perniagaan mencecah RM35.9 billion.

Rata-rata menyifatkan dialog itu tidak masuk akal kerana kos sebanyak itu hanya dibincangkan menerusi telefon saja.

Ini termasuk lokasi yang hanya menjalani penggambaran di Kuala Terengganu, bukan di Indonesia seperti dalam dialog membabitkan Janna dan Syafiq.

“Saya bukan baru dalam industri filem dan drama yang nak buat kontroversi tak menentu. Saya menjadi letih dan bosan dengan bidang ini kerana ada saja yang tak kena. Tidak habis-habis cari salah. Seolah-olah karya jahanam hingga tidak ada yang baik,” katanya.

Drama 20 episod arahan Ejump Mohd itu ditayangkan sejak 5 Jun lalu dan berakhir tayangannya pada Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 7:06 PM