Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur : "Patutnya dia (Aliff Aziz) hadir hari ini (Rabu). Setahu saya dia setuju pada awalnya untuk bercerai. Saya cuma nak permudahkan proses, lebih-lebih lagi ini adalah bulan Ramadan. Saya mahu semuanya berjalan dengan lancar," kata pelakon, Bella Astillah yang nekad memfailkan perceraian terhadap suaminya, pelakon dan penyanyi Aliff Aziz.

Bella, 30, atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah berkata, dia nekad untuk bercerai dan menganggap perpisahan adalah jalan terbaik untuk mereka.

"Saya rasa ini adalah jalan terbaik untuk kami. Saya rasa memilih ini (cerai) adalah yang terbaik untuk diri Aliff dan saya.

Ditanya, adakah dia akan memberi peluang kepada Aliff, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia sudah beberapa kali memberikan peluang kepada suaminya.

BELLA Astillah (tengah) keluar dari Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bersama peguam dan ahli keluarganya. FOTO Eizairi Shamsudin
BELLA Astillah (tengah) keluar dari Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bersama peguam dan ahli keluarganya. FOTO Eizairi Shamsudin

"Peluang demi peluang sudah saya berikan kepada Aliff. Apa pun dia tetap ayah kepada anak-anak saya. Saya juga sudah cakap dengan dia nak berpisah cara baik. Semoga apa yang terjadi ada hikmahnya. Cinta tak semestinya memiliki," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, peguam yang mewakili Bella, Azmi Mohd Rais berkata, hari ini adalah tarikh sebutan pertama perceraian.

"Pihak kami failkan cerai kelmarin secara ekspres. Sebelum ini Aliff bersetuju untuk cerai dan datang, namun dia maklumkan ada penggambaran. Dia minta tarikh seterusnya.

"Ikut prosedur pada tarikh akan datang, Aliff perlu hadir dan menyatakan pendirian dia sama ada mahu cerai atau tidak. Jika tidak mahkamah akan tentukan langkah seterusnya iaitu Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Hakam," katanya.

Bella Astillah nekad bercerai dengan Aliff Aziz

'Anak memang tak tahu pasal kami' - Bella Astillah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 2:38 PM