BELLA (kiri) dan Aliff (kanan) selepas prosiding perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BELLA (kiri) dan Aliff (kanan) selepas prosiding perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Sudirman Mohd Tahir


“SAYA anggap perceraian ini teguran keras daripada Allah. Saya cuba untuk kuatkan diri dan teruskan hidup dengan keluarga. Saya minta orang ramai untuk doakan Bella dan anak kami juga,” kata penyanyi Aliff Aziz selepas sah bercerai dengan isterinya, Bella Astillah di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.

Aliff, 28, atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz berjanji untuk memperbaiki diri dan berubah ke arah yang lebih baik. Malah, Aliff mengakui sudah bersedia dengan keputusan untuk bercerai.

“Saya tahu ramai yang akan bercakap keputusan ini disebabkan perbuatan saya. Apa boleh dikatakan, saya manusia biasa dan tidak mencari alasan. Saya sudah diberikan yang terbaik sejak lima tahun lalu.

“Mungkin Allah nak tunjuk pada saya. Saya minta maaf pada semua dan keluarga terutama pada Bella. Apa yang terjadi dalam (mahkamah) tadi pun saya masih belum hadam.

“Pada saya sekarang, nak fokus perbaiki diri. Itu nasihat terakhir yang Bella berikan pada saya. Dia juga mahu saya muhasabah diri. Saya serahkan pada Allah,” katanya.

Dalam masa sama, Aliff menyifatkan Bella isteri yang sabar dan menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Saya mohon maaf daripada hati kecil ini kepada Bella. Dia sudah banyak berkorban dari hari pertama kami kahwin lagi. Dia menjaga makan pakai saya, kerjaya dan lahirkan anak. Tak ramai yang sabar seperti Bella.

“Sebenarnya saya masih sayangkan Bella dan anak. Mungkin perbuatan saya tak menunjukkan itu, tapi biar Allah saja tahu sebab ia di luar kawalan saya. Selepas ini, saya akan cuba ambil hati Bella semula.

“Selagi masih hidup, saya masih hamba Allah. Seteruk mana pun perbuatan, saya masih hamba-Nya. Mungkin selagi itu saya masih ada peluang,” katanya.

Ditanya mengenai kontroversi gambar yang tersebar dengan dua wanita berbeza dalam tempoh dua hari ini, Aliff enggan mengulas.

“Saya tak nak ulas lebih lanjut mengenai apa yang tersebar. Apa yang penting sekarang nak menghadap hari esok sebagai seorang yang sudah berpisah,” katanya.

Sementara itu, Bella menyifatkan perceraian adalah jalan terbaik selepas tersebarnya gambar Aliff dengan gadis dikenali sebagai Nismel kelmarin.

“Semua orang nak kekalkan masjid (perkahwinan) yang dibina itu. Tapi, kita manusia biasa dan saya sudah buat macam-macam.

“Walaupun orang cakap saya tak ada akal, dah kena curang banyak kali pun masih lagi nak dan kenapa nak pertahankan lagi. Tak mengapa, yang komen itu pun mereka pernah buat salah dan minta maaf. Saya memang maafkan Aliff.

“Tapi, kali ini biarlah dengan berpisah menjadi jalan terbaik. Saya tak nak hidup dalam suasana negatif. Apa pun yang terjadi, sampai bila-bila pun Aliff tetap bapa kepada anak kami,” katanya.

Bella mengakui hilang sedikit beban ditanggung selepas mereka bercerai.

“Suami selalu curang. Sekali dua semua orang buat silap. Apabila lebih, itu adalah pilihan. Jadi, tak ada apa boleh ulas, perpisahan yang terbaik.

“Memang beban itu rasa berkurangan, tapi siapa sukakan perpisahan. Memang sedih, lima ke enam tahun kami kenal dan melalui banyak perkara bersama.

“Saya yang tak kerja selalu ikut Aliff. Saya dapat rasakan perubahan itu. Tapi saya cuba secara perlahan-lahan dengan sokongan mak dan ayah serta anak, insya-Allah boleh,” katanya.

Apa yang penting bagi dirinya sekarang adalah teruskan kehidupan dan memberi fokus kepada anak mereka.

Ditanya sekiranya Aliff mahu rujuk semula, Bella menyerahkan pada ketentuan Allah.

“Kalau saya kata ya, tapi perkara itu tak jadi, tak boleh juga. Kalau tak, tak juga. Jadi saya berserah dan waktu. Sebab hati kita berubah-ubah.

“Saya cuma harapkan dengan keputusan ini akan fokus pada anak dan buat yang terbaik. Saya muhasabah diri dan Aliff pun sama. Dengan perpisahan ini dan kontroversi terjadi dia boleh buat yang terbaik untuk dirinya.

“Soal sayang, tipu kalau kata tak sayang sebab kami dah bersama hingga ada anak. Memang masih ada sayang. Cuma berikan ruang dan waktu saya nak muhasabah diri juga. Banyak lagi kekurangan diri yang perlu diperbaiki,” katanya.

Terdahulu, Aliff yang sebak melafazkan talak satu pada 3.45 petang di hadapan Hakim Syarie Izzat Syazli Murshid selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 25.

Permohonan cerai itu difailkan Bella Astillah selaku plaintif pada 21 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia dua tahun.

Aliff kembali hangat apabila didakwa curang buat kali ketiga selepas gambar berswafoto sambil tidak berbaju bersama seorang gadis berpakaian seksi tular.

Selain gambar, turut tersebar satu rakaman video live Instagram memaparkannya bersama gadis sama dikenali sebagai Nismel itu.

Aliff juga terpalit kontroversi pada Julai 2017 dengan adik Anzalna Nasir, Afifah.

Bagaimanapun, Bella memaafkan perbuatan Aliff hingga kejadian membabitkan pelakon baharu, Oktovia Manrose, Februari lalu.

Berita berkaitan

Aliff, Bella sah bercerai [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 6:31 PM