Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Saya akan sedaya upaya menyelamatkan rumah tangga saya demi anak-anak. Saya rindukan mereka."

Demikian kata penyanyi Aliff Aziz yang memilih untuk tidak menceraikan isterinya yang juga pelakon Bella Astillah pada prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, hari ini.

Aliff ketika ditemui berkata, dia mengaku melakukan banyak kesilapan namun keputusan untuk berpisah bukan pilihan yang boleh dibuat dalam tempoh singkat.

"Saya akui sudah melakukan banyak kesilapan sebelum ini dan begitu juga dengan dia. Tapi pada akhirnya ini bukan satu keputusan yang boleh dibuat secara terburu-buru, tanpa memikirkan jangka masa panjang dalam segala hal.

"Saya berterima kasih dengan sokongan semua pihak. Cuma dalam hal membabitkan rumah tangga, tidak sepatutnya ada pengaruh luar," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Bella yang mengatakan dia pernah menyatakan hasrat untuk berpisah, pelakon kelahiran Singapura itu bagaimanapun memohon ruang agar prosiding di mahkamah berjalan lancar.

"Macam yang saya katakan situasi sekarang sangat bercampur baur. Jadi saya mohon jasa baik rakan-rakan media untuk beri ruang supaya prosedur ini berjalan seperti yang dirancang di mahkamah.

"Apapun mohon doa untuk perkahwinan kami," katanya.

ALIFF Aziz hadir pada kes cerai Bella Astillah di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
ALIFF Aziz hadir pada kes cerai Bella Astillah di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias

Terdahulu Aliff enggan melafazkan cerai terhadap Bella di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, hari ini walaupun isterinya bertekad untuk bercerai.

Berikutan itu, mahkamah kemudian menetapkan kes itu diteruskan dengan proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan 4 Jun ini bagi status laporan JKP.

Dalam prosiding hari ini Bella melantik kakak angkatnya manakala Aliff pula melantik ibunya masing-masing sebagai wakil JKP.

Semasa prosiding, peguam syarie Azmi Mohd Rais mewakili Bella manakala Aliff diwakili peguam syarie Abdul Hadi Mohamad Salleh.

Sebelum ini, Aliff sepatutnya hadir pada sebutan kali pertama kes perceraian mereka pada 13 Mac lalu, namun Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 33, sebagai defendan tidak hadir kerana urusan kerja selain terbabit dengan penggambaran.

Untuk rekod pasangan itu berkahwin pada 9 September 2016 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

Terdahulu pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan pelakon Ruhainies ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 2:41 PM