TINDAKAN Megan membetulkan rambut peserta Botswana dikatakan membawa sial. FOTO Agensi
TINDAKAN Megan membetulkan rambut peserta Botswana dikatakan membawa sial. FOTO Agensi
Agensi

Mumbai: Model dan pelakon Megan Young, 34, memohon maaf selepas dituduh pembawa 'sial' menyebabkan kekalahan wakil Bostwana, Lesego Chombo, 24, di pertandingan akhir Miss World 2024, di sini, semalam.

Megan akui tidak menyedari niatnya membetulkan rambut peserta itu adalah tidak sensitif dan menimbulkan rasa tidak senang kepada ramai terutama penyokong Chombo.

"Semalam sewaktu final, saya membetulkan rambut Lesego Chombo (Miss Bostwana) atas pentas. Saya berniat tawar pertolongan tapi gagal melihat gambaran yang lebih besar.

"Ia sudah mencetuskan rasa tidak senang ketika itu dan saya sudah dimaklumkan bahawa mengikut budaya, ini adalah tidak boleh tidak diterima.

"Saya jamin bukan niat saya untuk ceroboh ruang peribadi atau buatkan sesiapa rasa kurang selesa. Saya sangat menyesali tindakan saya dan berazam akan lebih peka dan lebih menghormati pada masa depan," katanya.

Selepas insiden itu, ramai mengecamnya sampai dituduh melakukan sihir dan menjadi punca wakil Bostwana itu keciciran gelaran Miss World 2024.

Megan yang juga pemegang gelaran Miss World 2013 sudah memohon maaf secara peribadi kepada Lesego dan turut minta maaf kepada semua terkesan.

"Kami sudah berbual secara tertutup di hotel dan saya ada meminta-maaf kepada Lesego secara peribadi.

"Kepada yang menyaksikan insiden itu, saya juga ingin mohon maaf jika timbul rasa kurang selesa atau kekeliruan terhadap tindakan saya. Ia kurang peka dan kurang hormat. Saya bertanggung jawab penuh terhadapnya," katanya.

Dalam pada itu, Lesego juga menyeru rakyat negaranya agar tidak menjatuhkan sesiapa sehingga mengaitkan namanya.

Dia berhasil lolos ke Top 4 edisi Miss World kali ini dan sebenarnya dicanang-canang mampu membawa pulang mahkota itu.

Bagaimanapun, peserta Republik Czech, Krystyna Pyszková, 24, dinobatkan sebagai pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 1:26 PM