Pelakon, Sanjna Suri. Foto Rohanis Shukri
Pelakon, Sanjna Suri. Foto Rohanis Shukri
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Bukan saya tak nak intai pasaran Bollywood, tapi saya trauma dan takut dengan permainan industri di sana yang disifatkan 'kotor'."

Demikian kata pelakon Sanjna Suri mengenai pengalaman hitam yang pernah dilalui ketika bertemu dengan seorang pengarah yang mengajaknya ke ranjang jika mahu berlakon dalam filem arahannya.

Sanjna berkata, kejadian yang berlaku sekitar tahun 2017 itu membuatkan dia tidak berani untuk mengembangkan kerjaya lakonannya di sana.

"Saya pernah cuba dan laluan itu tidak mudah kerana saya kena tidur dengan pengarah filem itu. Kalau saya tergamak buat perkara terkutuk itu pun, belum tentu saya akan mendapat tawaran berlakon di sana.

"Jadi apabila saya dapat rasakan ada sesuatu yang pelik dan nakal, saya pun tidak teruskan. Lagipun waktu itu saya tidak diberikan sebarang kontrak berlakon," katanya.

Menurut Sanjna, biarpun berdepan ujian hebat ketika itu dia tetap optimis untuk mencuba nasib di negara lain seperti di Arab Saudi dan Dubai.

"Saya mungkin akan cuba nasib berlakon di Arab Saudi atau Dubai memandangkan saya ada kenalan rapat di sana.

"Saya sudah beberapa kali terbang ke sana untuk berurusan dengan syarikat produksi, tapi sejujurnya hati saya masih menaruh harapan yang tinggi di Malaysia.

"Saya sangat cintakan tanah air ini dan saya nak aktif berlakon di Malaysia. Saya terbuka untuk menjayakan apa saja watak yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 5:14 PM