PELAKON Sanjna Suri pilih sertai pelbagai program untuk kembangkan pengalaman serta elak persepsi negatif.
PELAKON Sanjna Suri pilih sertai pelbagai program untuk kembangkan pengalaman serta elak persepsi negatif.
Georgie Joseph


Bertahun-tahun cuba mencipta tapak kukuh dalam bidang seni, pelakon Sanjna Suri kian mendapat tempat di hati peminat industri hiburan. Kelibatnya semakin rancak muncul di televisyen dan pelbagai acara.

Sanjna atau nama sebenarnya Sanjna Kishore Kumar Suri, 30, tidak putus usaha cuba mengembangkan sayapnya. Mana tidak, bergelar anak seni menjadi impiannya sejak kanak-kanak lagi.

Perjalanannya agak berliku namun tidak pernah mematahkan semangatnya. Sejenis wanita kental dan tabah, baginya biar kembaranya perlahan asalkan kariernya ada kemajuan.

Namun, kini dia mampu menarik sedikit nafas lega apabila perjuangannya berhasil. Tawaran demi tawaran disambutnya dengan besar hati dan mencurahkan sepenuh jiwa dalam hasil kerjanya.

"Saya berterima kasih sebab lakonan pertama saya hanya pelakon tambahan dalam filem Sangkar. Lima tahun kemudian, saya dapat peluang membintangi enam filem lagi.

"Tidak ketinggalan, saya dapat merasa tawaran membintangi beberapa drama, telefilem, program realiti TV, dan program permainan. Memang ambil masa tapi berbaloi sebab inilah impian saya sejak kecil lagi," katanya.

Antara pencapaian membanggakan Sanjna setakat ini tentunya menjadi teraju filem Pulau dan menjuarai program Mega Spontan 2023 sebagai anggota Majakelat. Kejayaan itu juga membantu namanya semakin dikenali.

Namun begitu, menjadi anak seni berkualiti dan bertahan adalah proses serta usaha berterusan. Prinsip itu dipegang erat Sanjna dalam memastikan dia menuai kepuasan tertinggi.

Dia juga meletakkan peminat dan penonton sebagai nombor satu. Tiada yang lebih menggembirakan hati kecilnya, selain melihat hasil kerjanya berjaya memberi kesan kepada orang lain.

"Saya cuma nak buat peminat dan penonton gembira dan puas. Bagi saya, respon penonton adalah segalanya sebab kita berlakon untuk orang 'enjoy'. Orang belanja duit dan masa menonton filem atau TV dan ia perlu berbaloi.

"Saya juga nak buktikan tak kisahlah sebanyak mana cabaran pun contohnya kekangan bahasa, lambat mula berlakon, dan bermula sebagai ahli farmasi kemudian ratu cantik dan jadi pelakon, tidak salah lambat.

"Dengan disiplin, dedikasi, kesabaran, dan niat yang betul, apa-apa saja hal kita impikan boleh dicapai," kata pemenang Miss Supranational Malaysia 2018 dan Miss Intercontinental Malaysia 2017 itu.

Kejelitaan dimiliki Sanjna sememangnya menjadi kelebihan buatnya. Namun pada masa sama, mampu menjadi jerat kerana pasti ada cakap-cakap mengatakan dia cuma bersandar pada kecantikan.

Justeru, pelakon keturunan Punjabi ini enggan persepsi terbabit melitupi bakat seni serta kerja-kerasnya. Dia mengambil pendekatan tersendiri untuk memastikan dapat menangkis tanggapan sebegitu.

"Ya tak dinafikan tanggapan itu memang ada. Sebab itulah saya suka ambil projek-projek berbeza seperti program permainan, rancangan realiti bagi mempamerkan personaliti, kebijakan, dan bakat.

"Sewaktu membesar, saya tak cantik dan sering dibuli. Sebab itu saya terbiasa gandakan dua atau tiga kali usaha dalam apa cabaran pun. Sampai hari ini kualiti itu masih ada.

SANJNA mahu terus lipat ganda usaha menjadi anak seni berkualiti.
SANJNA mahu terus lipat ganda usaha menjadi anak seni berkualiti.

"Kerja-keras akan sentiasa mengenepikan kecantikan atau kebijakan jika mahu bertahan lebih lama. Oleh itu, jangan pernah berhenti untuk sibukkan diri," katanya.

Bercakap pasal kesibukan, jadual seni Sanjna kala ini juga sememangnya cukup padat. Dia tidak lekang tawaran pelbagai projek dan bersyukur itulah yang terbaik untuknya majukan diri.

"Saya ada buat beberapa projek menarik seperti mengacara untuk 'Mobile Legends', jadi wajah jenama Bobbi Brown untuk kempen Diwali, telefilem dan lain-lain. Saya menunggu projek besar akan datang yang lain untuk cabar dan bantu saya berkembang," katanya.

Memiliki pesona cukup global juga, Sanjna mampu meluaskan kerjaya ke luar negara seperti Bollywood mahupun Hollywood. Namun katanya, jiwa patriotik masih kental dan dia ingin berbakti di tanah air dahulu.

"Sejujurnya, hati saya sentiasa untuk Malaysia dan tak terfikir nak keluar lagi. Industri Bollywood sangat besar tapi tak 'bersih' pun. Saya pernah ada peluang ke sana lebih lima tahun yang lalu.

"Ada banyak kesulitan yang bertentangan dengan prinsip saya. Selepas melihat sendiri dan mendengar banyak lagi cerita pasal di sana, saya lebih rela cuba nasib dan cabar kemampuan saya di sini," katanya.

SAMBUT DEEPAVALI DI LUAR NEGARA

Berkongsi mengenai Deepavali, Sanjna serta keluarganya selesa menyambut perayaan itu dengan sederhana. Baginya paling penting adalah dapat berkumpul dengan sanak-saudara tercinta.

Namun begitu, memang akan ada rutin wajib mereka pada hari penuh makna itu. Mengadakan rumah terbuka juga antara tradisi yang pelakon ini serta keluarganya amalkan sejak dulu.

"Paling gembira keluarga dan sahabat handai kembali berkumpul. Pada malam raya, kami sediakan bahan masakan dan bersihkan rumah. Pagi Diwali, ke kuil kemudian rumah terbuka makan tengah hari sebelah bapa saya.

"Keluarga saya akan masak dan kemudian menjamu seisi rumah serta tetamu. Petang selepas mandi, kami nyalakan lampu pelita di sekeliling rumah dan kemudian menziarah sebelah ibu pula.

"Rumah terbuka memang akan berlanjutan sepanjang hari. Keesokannya, kami ke rumah saudara lain pula. Sangat seronok kerana ada nenek, ibu saudara, sepupu, dan bayi kecil, berkumpul besar-besaran," katanya.

Mengenai persiapan pula, biasanya Sanjna tidak akan boros berbelanja. Bahkan perbelanjaan mereka cukup ringkas termasuk untuk pakaian dan juadah.

"Tak beria pun sebab saya suka ringkas saja. Di rumah saja pun dan taklah nak beria sangat pakai sari. Cukup pakai pakaian punjabi, aksesori dalam sekitar harga bawah RM100 saja dibelanjakan.

"Untuk masakan pun tak pakai banyak sangat sebab kebanyakan ahli keluarga adalah vegetarian. Kalau keseluruhan bajet sekitar RM1,500 termasuk makanan, minuman, dan snek," katanya.

Bagaimanapun, tahun ini Sanjna tidak dapat menyertai keluarganya meraikan Deepavali. Dia memutuskan untuk pergi bercuti di Timur Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 6:01 AM