Adira Suhaimi.
Adira Suhaimi.

Kuala Lumpur: Penyanyi, Adira Suhaimi berpegang teguh dengan pendiriannya untuk bercerai dan membina kehidupan baharu.

Adira berkata, dia berharap dapat menyelesaikan masalah rumah tangganya bersama Datuk Red dengan segera dan harmoni.

"Semoga yang baik-baik saja, dan dapat selesai dengan cepat," katanya.

Dalam pada itu, Adira enggan mengulas lanjut mengenai keputusan sama yang dibuat madunya, Datin Seri Sharifah Norshafila Hashim atau Datin Red yang turut menfailkan perceraian.

"No comment," katanya ringkas.

Terdahulu Datuk Red dan Adira hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang bagi prosiding keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) pagi ini. 

Bagaimanapun proses itu gagal menemui jalan penyelesaian dan mahkamah melanjutkan kepada proses Hakam yang akan berlangsung pada 24 April depan. 

Sebelum ini, peguam yang mewakili Datuk Red iaitu Muhammad Akmal Azman memaklumkan anak guamnya turut berdepan dengan permohonan perceraian yang difailkan isteri pertama Datuk Red di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Selangor pada 18 Mac ini. 

Pada 25 Oktober lalu, Adira memfailkan perceraian ke atas suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor kerana tiada persefahaman.

Adira pernah memfailkan perceraian pada tahun 2019 namun menarik semula permohonan itu demi anak-anak. 

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun.

Dalam pada itu, perkahwinan Datuk Red bersama isteri pertamanya iaitu Datin Red mempunyai lima orang cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 4:46 PM