ANTARA artis yang akan terlibat di Konsert Rock Legend Berzaman.
ANTARA artis yang akan terlibat di Konsert Rock Legend Berzaman.
Syafil Syazwan Jefri

KEHANGATAN muzik rock 1990-an nampaknya masih menyengat walaupun masa berjalan dan berlalu sehingga beberapa generasi.

Kekuatan itulah yang dilihat RAR Sky Entertainment untuk menganjurkan acara Konsert Rock Legend Berzaman yang akan berlangsung Mac nanti di ibu negara.

Menariknya, konsert itu membariskan barisan artis hebat iaitu Ameng Spring, Muss, Zamani Slam, Amir Ukays, Ezad Lazim, Shidi Data, Azan Scan, Poey Sting serta Hazama.

Wakil penganjur, Iskandar Ali berkata, mereka membuka platform untuk artis-artis rock beraksi.

"Setiap artis akan mempersembahkan antara tiga hingga lima lagu. Kami buka peluang kepada semua penyanyi rock termasuklah Datuk Awie, Datuk Amy Search dan beberapa nama lain. Namun, jadual tidak bersesuaian.

"Jadi, kami beri peluang kepada abang-abang penyanyi rock kita yang ada ini untuk berkumpul di atas satu pentas. Kami juga adakan undian di media sosial untuk dapatkan pungutan suara daripada peminat.

"Hazama pula akan menyanyikan semula lagu-lagu daripada kumpulan Iklim.

"Sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan kepada Tabung Palestin kerana itu memang niat kami sejak awal lagi," katanya.

Deretan artis popular era 90-an ini juga nampaknya diminati oleh penaja utama iaitu Liana Rosli atau mesra disapa dengan panggilan Kak KM.

"Lagu-lagu era 90-an ada kekuatan yang tersendiri. Saya dimaklumkan, lokasi acara itu iaitu Mega Star Arena mampu memuatkan 5,000 penonton. Jadi, Insya-Allah, tiket akan habis dijual," katanya.

Selain menampilkan vokalis hebat daripada pelbagai band popular, Konsert Rock Legend Berzaman turut menampilkan penyanyi dan pemuzik, Oja selaku pengarah muzik dan akan memulakan sesi latihan Februari ini.

"Saya bertindak sebagai pengarah muzik untuk konsert kali ini. Kami tampilkan sembilan pemuzik termasuklah penyanyi latar.

"Susunan muzik untuk konsert kali ini, saya kekalkan 'vibe' 1990-an. Sebabnya, kalau saya tukar susunan muziknya terlalu ketara, nostalgia itu akan hilang," kata Oja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 6:20 AM