Anak Perjanjian Syaitan 2
Anak Perjanjian Syaitan 2
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Filem genre seram, Anak Perjanjian Syaitan 2 berjaya mencecah kutipan sebanyak RM2.2 juta sejak ditayangkan di 130 pawagam di seluruh negara bermula 4 Januari lalu.

Menurut pengarahnya, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 52, pihaknya bersyukur kerana filem 'comeback'nya selepas empat tahun itu mendapat sambutan positif dari penonton.

"Saya sangat bersyukur dengan sambutan pada filem pertama arahan saya selepas empat tahun berehat.

"Pihak kami sasarkan kutipan filem ini akan mencecah RM5 juta nanti. Ia berdasarkan maklum balas penonton dari mulut ke mulut yang semakin baik selepas minggu pertama tayangan," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai kekuatan filem itu, kata Ahmad Idham, ia membabitkan barisan pelakon yang mantap dengan konsep filem seram yang menekankan kerohanian serta dakwah.

"Filem ini juga menampilkan kelainan yang tiada pada filem seram arahan saya sebelum ni.

"Apa yang pasti, penonton akan dapat kepuasan bila menonton filem genre seram saya kali ini," katanya.

Tambah Ahmad Idham, filem genre seram memang sentiasa ada penontonnya tersendiri.

"Apa yang penting, filem itu harus mendapat kepercayaan peminat.

"Pada pemerhatian saya, mereka yang sudah menonton filem ini puas hati dan mula nampak apa yang cuba disampaikan," katanya.

Mengulas tayangan filem pula, kata Ahmad Idham, ia akan ditayangkan selagi ada sambutan penonton di pawagam.

"Saya yakin tayangan filem ini boleh kekal hingga ke minggu ke empat. Ini di sebabkan saya melihat 'trend' penonton amat baik memasuki minggu kedua tayangan," katanya yang mengarahkan filem Anak Perjanjian Syaitan pertama yang ditayangkan pada 2019.

Filem Anak Perjanjian Syaitan 2 terbitan Grand Brilliance Studio dibintangi Eyka Farhana, Alif Satar, Fasha Sandha, Azlan Komeng, Dian P Ramlee, Azizah Mahzan dan Shaharuddin Thamby.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 3:51 PM