S Baldev Singh (kiri). Aman Graseka (kanan).
S Baldev Singh (kiri). Aman Graseka (kanan).
Najiy Jefri


Petaling Jaya : Pengarah dan penerbit, S Baldev Singh gagal menjejaki pelakon, Aman Graseka kerana mahu membantunya selepas didakwa mengalami kesukaran hidup sehingga memohon bantuan kewangan daripada rakan artis.

Baldev berkata, Aman yang terbabit dalam filem terbarunya, Jiwa 8 Belas tidak menjawab panggilan telefonnya selain tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai jemputan ke malam gala filem itu yang diadakan semalam.

"Saya nak bantu Aman, saya sudah menghubunginya tapi tiada sebarang maklum balas. Saya tak tahu apa masalah yang dia hadapi sekarang.

"Saya tiada hutang dengannya dalam filem ini. Saya sudah selesaikan bayaran pada hari penggambaran lagi.

"Saya sudah hubungi, tapi langsung tiada jawapan. Saya terkejut dan sedih dengan apa yang jadi pada Aman," katanya.

Baldev berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem Jiwa 8 Belas di pusat beli-belah terkemuka, di sini, semalam.

Menurut Baldev, sekiranya Aman tampil menghubungi dan menceritakan masalah yang dihadapinya, dia sedia untuk menawarkan sebarang bantuan termasuk menyediakan peluang pekerjaan.

"Saya tahu mengenai perkara ini selepas tular di media sosial. Saya nak bantu supaya dia dapat cari kerja dan berdikari untuk keluarga.

"Saya bukan nak tolong dia untuk beri sumbangan duit, tapi sediakan peluang pekerjaannya.

"Di mana pun dia berada, kita boleh minta kawan-kawan bantu. Tapi, kalau dia ada masalah di sebalik itu, saya tak tahu.

"Jadi saya harap Aman dapat bangkit dan mencari saya. Anda tak perlu minta daripada sesiapa, kita kawan-kawan ada untuk membantu," katanya.

Terdahulu, berita mengenai pelakon filem Cinta Kita itu mendapat perhatian selepas pengacara Sharifah Shahirah atau Shiera memuat naik perkongsian dalam Instagram.

Menerusi hantaran itu, Shiera berkongsi mengenai Aman atau nama sebenarnya Aman Shah Baharom Shah, 56, yang meminta bantuan kewangan untuk memberi makan kepada anak-anaknya.

Difahamkan Aman sepatutnya hadir ke majlis tayangan perdana filem Jiwa 8 Belas terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd bersama pelakon lain, semalam, namun kelibatnya tiada.

Selain Aman, Filem Jiwa 8 Belas turut dibintangi A Galak, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Fauziah Nawi, Zila Bakarin, Shah Hazvee, Sophia Albarakbah, Izuan Ramli, Ikhram Juhari, Kanda Khairul, Akim Nordin, Faha Azhar, Arif Mex dan Acap S.

Filem itu akan mula ditayangkan pada 18 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 3:53 PM