Sharifah Shahira (dua dari kanan) dan anaknya Airel (dua dari kiri).
Sharifah Shahira (dua dari kanan) dan anaknya Airel (dua dari kiri).
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Penyampai radio dan pengacara, Sharifah Shahira tidak tahu anak lelakinya, Airell Zulkifli antara mangsa dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dengan treler di Kilometer 179, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara di Jasin, Melaka, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, Sharifah Shahira atau Shiera bersyukur apabila anaknya itu selamat dan hanya mengalami cedera ringan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, Airell antara 16 penumpang yang cedera selepas bas ekspres dinaiki dari Singapura menuju ke ibu kota merempuh belakang treler berkenaan.

Shiera berkata, anaknya itu yang berada di Singapura sejak Jumaat lalu menghadiri festival animasi pada mulanya cuba berselindung mengenai kemalangan itu.

"Ariel memaklumkan bas lewat beberapa jam kerana rosak. Patutnya suami akan jemput dia jam 5 pagi semalam, tapi bila saya bangun pagi itu, tengok dia masih belum tiba di rumah.

"Petang semalam selepas saya balik kerja, saya nampak ada luka di dahinya. Mulanya dia tutup dengan rambutnya yang agak panjang itu. Bila saya tanya kenapa, dia kata itu jerawat, tapi saya tengok macam luka. Itu saya bertanya sama ada dia bergaduh dengan sesiapa, sudahlah ke Singapura tidak maklumkan kepada saya atau Ijoy.

"Bila kena paksa tanya, saya terus terkejut bila dia bagi tahu bas kemalangan. Terus dia buka cerita sebenar bas bukan rosak tapi kemalangan. Mengucap panjang saya waktu dengar tu," katanya.

Terdahulu, Sheira memuat naik satu hantaran di Instagram berserta tangkap layar berita memaklumkan anaknya itu terbabit dalam kemalangan di Jasin.

Dalam pada itu, Shiera berkata, tujuan anaknya untuk tidak bercerita kisah sebenar kerana tidak mahu menyusahkan dia dan suami.

"Alasan dia tipu saya sebab tak nak risaukan saya. Saya faham walaupun tak cedera parah tapi kenapa kena tipu saya.

"Saya korek juga cerita daripada dia, rupanya lepas kemalangan terus dibawa naik ambulans ke hospital dengan kawan-kawan dia. Dia kata dah buat x-ray semua baik saja. Alhamdulillah, saya bersyukur dengar," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seramai 16 daripada 27 penumpang termasuk warga Singapura cedera dalam kejadian itu.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Azman Md Dawam berkata, semua mangsa yang cedera diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital menaiki ambulans dan kenderaan EMRS untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 8:02 AM