FILEM tempatan mampu teroka pasaran luar jika penerbit tahu guna platform sebaik mungkin.
FILEM tempatan mampu teroka pasaran luar jika penerbit tahu guna platform sebaik mungkin.
Syafil Syazwan Jefri


PEMBIKIN filem tempatan tentunya sentiasa mencari peluang dan ruang untuk berkarya dan sekiranya bernasib baik, membawa karya itu yang juga wajah Malaysia ke luar negara.

Bagi penerbit, S Baldev Singh yang pernah menerbitkan filem seperti Musyrik dan I’m Not a Terrorist, dia sendiri menyarankan supaya pihak berwajib dan bertanggungjawab menyediakan platform terbaik kepada penerbit dan pembikin filem tempatan.

Menurutnya, sekiranya pembikin dan penerbit filem tahu untuk menggunakan platform diberikan dengan sebaik mungkin, tidak mustahil untuk filem tempatan mampu menerokai pasaran luar sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Ramai penerbit dan pembikin filem berbicara mengenai dana dan memohonnya (dana) daripada pihak bertanggungjawab. Namun, saya ingin mencadangkan supaya pihak berwajib tidak menyalurkan dana itu semata-mata, tetapi lebih kepada penyediaan platform.

“Salah satu cara adalah dengan menjemput duta besar daripada negara luar untuk bertemu dengan penerbit tempatan dan dari situ, kita boleh tayangkan hasil karya seni tanah air kepada mereka. Secara tak langsung, ia boleh mewujudkan hubungan baik dengan negara luar dan memperkenalkan karya Malaysia kepada mereka,” katanya.

Baldev ketika ditemui di sesi minum petang dan bual bicara bersamanya baru-baru ini juga mengajak supaya penerbit yang berpeluang untuk pasarkan filem tempatan ke luar negara untuk menjadi pembuka jalan buat pembikin filem lain.

BALDEV berkata, salah satu cara adalah dengan menjemput duta besar daripada negara luar untuk bertemu dengan penerbit tempatan.
BALDEV berkata, salah satu cara adalah dengan menjemput duta besar daripada negara luar untuk bertemu dengan penerbit tempatan.

“Kalau kita bercakap mengenai jumlah kutipan, kalau dapat pulangan sekitar USD500 (RM2,100) atau USD1,000 (RM4,200) sekalipun, itu adalah wang walaupun jumlahnya mungkin sedikit. Apa yang paling penting adalah, kita membuka jalan dan menjadi jambatan untuk pencinta filem di luar negara nampak karya seni kita.

“Filem kita adalah hasil budaya negara. Sekiranya kita dapat memasar dan menjual hasil karya hingga ke luar negara, secara tak langsung kita juga dapat memperkenalkan tanah air dan pada masa sama, dapat menjadikan pelakon kita sebagai produk tempatan,” katanya.

Baldev turut bersetuju dengan pendapat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi memastikan risiko ekonomi dapat ditangani dengan berkesan.

“Ia adalah satu cadangan dan idea yang bagus daripada Tun. Adalah lebih baik jika perancangan itu turut menjadi perhatian kepada penggiat seni kerana industri perfileman kita semakin merudum pada waktu ini.

“Industri ini juga boleh menjana ekonomi Malaysia jika sistem yang dibuat boleh diterima pakai sehingga ke luar negara,” katanya.

Bercerita mengenai perkembangan terbaharu, Baldev kini dalam perancangan untuk menghasilkan filem baharu yang penggambarannya akan berlangsung di Pakistan.

“Saya akan terbitkan filem berjudul Tenu Rabb Maneya yang mengisahkan mengenai konflik antara dua agama yang berlaku di Pakistan. Ia akan membariskan pelakon dari negara berkenaan, India dan juga Malaysia,” katanya.

Tidak hanya akan dipasarkan di Malaysia, filem terbabit juga dijangka bakal dibawa menembusi pasaran Bollywood.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 6:45 AM