S Baldev.
S Baldev.
Najiy Jefri

 

 

Kuala Lumpur: Walaupun terpaksa berdepan cukai hiburan sebanyak 25 peratus oleh kerajaan dan caj 50 peratus yang dikenakan pawagam, namun penerbit filem Musyrik : Api Neraka Menantimu!, S Baldev Singh tetap bertekad menayangkan filem terbaharunya itu di pawagam. 

Baldev berkata, dia tidak pernah berhasrat untuk menayangkan filem itu di platform penstriman digital (OTT) kerana mahu membina maruah negara. 

"Apabila produk kita ditayangkan di pawagam, ia membina maruah negara. Jika ditayangkan di platform OTT, ia bukan milik orang kita. Takkan kita nak jadi hamba mereka. Jadi kuli percuma. Mereka kutip duit, kita yang mati. 

"Saya ambil keputusan tayang di pawagam bukan kerana saya berani (ambil risiko) tapi saya masih sayangkan Jalur Gemilang. Saya sayangkan negara dan seni," katanya. 

Menurut Baldev, dia mempunyai keyakinan penuh terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof Dr Md Nasir Ibrahim dalam membantu isu berkenaan kepada pembikin filem tempatan.

"Saya ada kepercayaan kepada beliau dalam menguruskan hal berkaitan duti hiburan. Pihaknya akan buat yang terbaik, bukan saja untuk penerbit tapi semua pihak. 

"Saya tak perlu merayu kerana percaya beliau akan menyelesaikan perkara ini. Lagipun saya ada terbaca kenyataan beliau baru-baru ini,"katanya.

Filem Musyrik-Api Neraka Menantimu! sudah menemui penonton sejak semalam. Filem ini mengisahkan Aril yang mempunyai sikap mudah panas baran terutama sekali apabila perniagaannya ditimpa masalah berpunca daripada orang kepercayaannya sendiri.

Rumah tangga Aril mula menjadi porak-peranda sehingga mampu bertindak di luar kawalan apabila ada sesuatu yang mendampingi dirinya. Masalah yang datang kepada Aril mempunyai kaitan dengan kisah silam hidupnya dalam mengamalkan perbuatan syirik.

Filem ini membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Ashraf Muslim, Aeril Zafrel, Aishah Ilias, Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 8:35 PM