SUAMI arwah Mohd Roshdi Ramli (kiri) bersama anak-anaknya, Riyadh Haziq Mohd Roshdi , 10 (dua kiri) dan Raisya Hannah Mohd Roshdi, 8 (kanan) turut sama ibunya Siti Nooriah Hasan, 69 (dua kanan)  menabur bunga mawar di pusara Siti Nor Hafiza selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih. FOTO Aswadi Alias
SUAMI arwah Mohd Roshdi Ramli (kiri) bersama anak-anaknya, Riyadh Haziq Mohd Roshdi , 10 (dua kiri) dan Raisya Hannah Mohd Roshdi, 8 (kanan) turut sama ibunya Siti Nooriah Hasan, 69 (dua kanan) menabur bunga mawar di pusara Siti Nor Hafiza selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih. FOTO Aswadi Alias
Najiy Jefri


Batu Caves: Jenazah wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, yang meninggal dunia di Hospital Charing Cross, London akibat pendarahan otak selamat dikebumikan pada jam 12.50 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah, Taman Selasih, di sini hari ini.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di London dan tiba di tanah air kira-kira jam 7.20 pagi sebelum disolatkan buat kali kedua di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur pada jam 12.05 tengah hari.

Kira-kira 200 ahli keluarga termasuk saudara-mara dan sahabat handai hadir di tanah perkuburan untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Terdahulu Allahyarham yang bertugas sebagai editor portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media meninggal dunia di London, Khamis lalu selepas rebah ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heatrow, London untuk pulang ke tanah air selepas menghabiskan cuti selama dua minggu.

Beliau menerima tajaan pakej pelancongan bersama keluarga ke London, difahamkan sudah merancang percutian sejak 2022 ketika keadaannya masih stabil.

Meskipun keadaan kesihatan kurang baik selepas keluar hospital pada November lalu, keluarga memilih menunaikan hajat arwah untuk bercuti.

Percutian ke London adalah hajat terakhir arwah Fiza bagi meraikan anak-anak, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8, berikutan percutian itu sudah lama dirancang.

Allahyarham Fiza adalah pejuang kanser payu dara. Selepas enam tahun bebas penyakit kanser, ia kembali menyerang ke hati.

Selain itu, kanser berkenaan turut merebak ke bahagian kepala dan seluruh badan.

Proses membawa pulang Fiza ke tanah air mengambil masa berikutan membabitkan pelbagai dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 2:15 PM