AMYLEA gembira lagu Selagi Ku Ada dapat berentap di AJL38.
AMYLEA gembira lagu Selagi Ku Ada dapat berentap di AJL38.
Norhayati Nordin


Mula dikenali pada 2005 apabila menyertai program Akademi Fantasia 3 (AF3), Amylea Azizan, 37, pastinya sudah cukup faham dengan senario industri hiburan tanah air yang berliku ini.

Apatah lagi, bagi memastikan terus kekal relevan dalam bidang seni tidak mudah dengan kemunculan bakat baharu bersilih ganti yang ramai setiap tahun, membuatkan kreativiti diri amat penting.

Mujur selain menyanyi, Amylea turut berbakat dalam penghasilan lagu yang kebanyakan karyanya dipilih menjadi lagu tema atau runut bunyi (OST) drama, sekali gus membantu dia kekal bersaing di arena hiburan hingga kini.

Terbaru, lagu Selagi Ku Ada ciptaannya yang dinyanyikan secara duet oleh Khai Bahar dan Nabila Razali dipilih untuk berentap di pentas kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38) yang akan berlangsung pada 3 Mac tahun depan.

Ditemui baru-baru ini, Amylea berkata, kejayaan lagu Selagi Ku Ada yang dapat membolos tempat ke AJL38, menjadi penyuntik semangat untuk dia cuba mempertaruhkan single nyanyiannya pula dalam acara hiburan berprestij itu pada tahun depan.

"Saya tak sangka pun lagu Selagi Ku Ada akan berjaya bertanding antara 12 lagu yang berentap di AJL38 nanti. Apapun, syukur Alhamdulillah apabila ramai yang menyokong dan menyambut baik lagu ini.

"Cuma, ada dua lagu ciptaan saya yang tidak dicalonkan di Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM38) kali ini kerana tidak dihantar pun untuk pencalonan. Sebabnya, saya rasa tiada siapa yang peduli pun kalau saya hantar atau tidak," katanya.

Menurut Amylea, bagaimanapun dia bercadang ingin cuba mencalonkan beberapa lagu ciptaannya, termasuk juga yang dinyanyikannya sendiri pada penganjura acara yang akan datang.

"Dengan adanya lagu ciptaan saya yang dinyanyikan oleh Ernie Zakri dan satu lagu yang dibuat untuk seorang penyanyi lain serta lagu yang saya nyanyi sendiri, mungkin akan dicalonkan pada SFMM tahun depan pula.

"Jujurnya selepas diberikan pelbagai kata-kata semangat, saya sudah ada semula rasa yakin dan mahu teruskan perjuangan, insyaAllah. Saya kini masih mengumpulkan lebih banyak semangat.

"Ia kerana, tak dinafikan di dalam pertandingan ini (AJL) sebenarnya saya berasa amat rendah diri untuk bersaing dengan orang lain yang dilihat lebih bagus dan karya mereka terbaik. Tapi, saya cubalah buat yang terbaik saja," katanya.

Mengulas lanjut mengenai lagu Selagi Ku Ada, Amylea berkata, dia sebenarnya tidak meletakkan sebarang harapan untuk lagu berkenaan layak bertanding di AJL38, namun sangat berterima kasih atas sokongan ramai.

"Saya sudah lama tidak mahu nak berharap apa-apa. Namun, ia tidak bermaksud untuk saya mengatakan kemenangan dalam anugerah tidak menentukan kejayaan. Apapun, saya tetap percaya pada rezeki.

"Bila Allah nak bagi kita, maka Dia akan bagilah. Tapi, sebenarnya kalau tiada rezeki bertanding anugerah pun, saya tetap kena terus buat lagu dan tak bolehlah nak berhenti macam itu saja," katanya.

Amylea berkata, tapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini dia mengakui sudah tidak mengejar apa-apa, namun tetap melihat positif dan gembira dengan perkembangan yang berlaku dalam industri hiburan tempatan yang banyak perubahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 6:30 AM