Pelakon dan usahawan, Hanis Zalikha bersama suaminya, Hairul Azreen ketika sidang media & majlis buka puasa serta pengumuman Hanis Zalikha sebagai duta InnerSejuk Brand. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
Pelakon dan usahawan, Hanis Zalikha bersama suaminya, Hairul Azreen ketika sidang media & majlis buka puasa serta pengumuman Hanis Zalikha sebagai duta InnerSejuk Brand. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pasangan selebriti Hanis Zalikha dan Hairul Azreen mengambil pendekatan berbincang mengenai cara didikan yang sesuai buat dua cahaya mata mereka iaitu Yusuf Iskandar, 6, dan Alisa Aisyah yang kini berusia tiga tahun.

Menurut Hanis, cara mendidik anak-anak banyak dipelajari menerusi pembacaan manakala suaminya pula berdasarkan pengalaman bersama anak-anak buah yang sedang membesar.

"Sekiranya kami ada menegur atau marah anak-anak, sebelum tidur kami akan berbincang balik apa kesalahan. Apa yang boleh diperbetulkan dan pendekatan bagaimana yang lebih sesuai.

"Ini bagi memastikan mereka mempelajari sesuatu daripada teguran itu. Jangan rasa saya ini lembut sangat sebab sebenarnya saya seorang yang tegas.

"Kalau saya kata tak boleh, maknanya memang tak boleh. Cuma cara saya cakap dengan nada yang tidak tinggi. Ada yang kata 'lembutnya dengan anak-anak'... tapi sebenarnya bukan lembut. Saya tak garang tapi lebih tegas.

"Jika ingin menegur anak-anak yang melakukan kesalahan, memang kena tegas kerana kita ingin mendidik," kata Hanis.

Untuk rekod, Hanis mendirikan rumah tangga dengan pelakon filem Paskal itu pada Jun 2015 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Video usahawan itu mendidik dan menegur anak-anaknya sering menjadi perhatian di media sosial.

Rata-rata golongan wanita dan ibu menjadikan Hanis sebagai idola dalam mendidik anak-anak yang semakin membesar.

Hanis atau nama sebenarnya Hanis Zalikha Zainal Rashid ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelantikan dirinya sebagai duta produk jenama Innersejuk di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kempen itu Hanis memperagakan Telekung Suqainah Signature dan Telekung Suqainah Luxe, koleksi telekung sejuk berteknologi tinggi yang memberikan keselesaan tetapi tetap kelihatan cantik dan elegan ketika dipakai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 3:13 PM