FAHMI menyampaikan ucapan pada Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia 2023 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Kementerian Komunikasi. FOTO BERNAMA
FAHMI menyampaikan ucapan pada Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia 2023 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Kementerian Komunikasi. FOTO BERNAMA
Najiy Jefri

Putrajaya: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan 2023 sebagai tahun cemerlang buat industri perfileman tanah air dengan kejayaan 30 buah filem tempatan menembusi festival-festival filem antarabangsa dan meraih pelbagai kejayaan.

Menurut Fahmi, di peringkat pasaran domestik, kutipan box-office filem tempatan hingga kini sudah mencecah RM98.8 juta untuk tayangan 56 buah filem.

"Ini termasuklah filem-filem yang diarahkan oleh barisan pembikin berpengalaman seperti filem Harum Malam arahan Dain Said; Rain Town arahan Tunku Mona Riza; Stone Turtle arahan Woo Ming Jin; Barbarian Invasion arahan Tan Chui Mui dan Sumpahan Jerunei arahan Jason Chong.

"Selain itu, kita seharusnya berbangga dengan kebangkitan karya pembikin filem muda yang memenangi lebih 20 buah anugerah buat negara di festival filem antarabangsa seperti filem Tiger Stripes arahan Amanda Nell Eu yang mencipta sejarah menjadi filem Malaysia pertama memenangi hadiah utama Minggu Kritik Antarabangsa Cannes ke-62.

"Filem Walid arahan Areel Abu Bakar juga membuktikan cerita aksi yang mengangkat seni persilatan Melayu mampu menarik perhatian pengedar bagi tayangan di pawagam Amerika Syarikat.

"Di peringkat pasaran domestik, kutipan box-office filem tempatan hingga kini ialah sebanyak RM98.8 juta untuk tayangan 56 buah filem. Daripada jumlah itu, ia disumbangkan oleh pencapaian kutipan enam buah filem arahan pembikin muda iaitu Coast Guard, Imaginur, Didi & Friends , Polis Evo 3, Rahsia dan Malbat: Misi Bakara yang mencatat kutipan pecah panggung (box-office)," katanya.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui pada program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023 yang diadakan di Pejabat Kementerian Komunikasi & Digital, di sini, hari ini.

Program anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu diadakan bagi meraikan 26 penerima termasuk syarikat produksi dan penggiat industri yang melakar kecemerlangan buat industri filem negara di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Fahmi dalam ucapannya turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kesemua penerima anugerah.

Antaranya penerima anugerah itu ialah Dr U-Wei Saari atas pencapaian menjadi juri dan mentor di peringkat antarabangsa seperti Festival Filem Antarabangsa Asia Tenggara dan Anugerah Skrin Pasifik Asia serta dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif sempena Istiadat Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ke-18.

Selain itu, pelakon tersohor Datuk Ahmad Tamimi Siregar juga membuktikan kecemerlangan lakonannya sebagai teraju utama filem Malaysia-Indonesia iaitu Perjalanan Pertama yang menobatkan beliau sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Antarabangsa Asia Tenggara (AIFFA) di Kuching, Sarawak tahun ini.

Tidak ketinggalan, pelakon Datuk Fauziah Nawi yang dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas jasa dan perjuangan seni beliau selama lebih 50 tahun dalam industri.

Katanya lagi, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Finas amat komited meningkatkan daya saing, kualiti serta produktiviti filem-filem tempatan dengan pelbagai sokongan dan galakan pada tahun ini.

"Peruntukan RM53.1 juta bawah Dana Kandungan Digital (DKD) Sektor Filem sebagai galakan pembiayaan kepada 250 buah projek merangkumi RM30.1 juta bagi pelaksanaan 171 buah projek sedia ada mengikut perbatuan yang menghasilkan 8,550 peluang pekerjaan dan RM23 juta kelulusan peruntukan bagi 79 projek baharu dengan manfaat 3,950 peluang pekerjaan.

"Penyaluran RM3.86 juta galakan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) bagi 44 buah filem tempatan bawah Skim Wajib Tayang Finas dan pelaburan asing dan domestik bernilai RM700 juta melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) yang menghasilkan 9,000 peluang pekerjaan.

"Semoga kejayaan industri filem pada 2023 ini membuka lembaran 2024 yang lebih positif, progresif dan makmur kepada semua pemegang taruh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 5:34 PM