Jaclyn diumumkan sebagai juara program All Stars Gegar Vaganza.
Jaclyn diumumkan sebagai juara program All Stars Gegar Vaganza.
Syafil Syazwan Jefri


Bukit Jalil: Penyanyi Jaclyn Victor diumumkan sebagai juara program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang melabuhkan tirainya, malam tadi. 

Menerusi kemenangan itu, Jaclyn berjaya membawa pulang hadiah utama wang tunai RM200,000 sumbangan Astro, pakej percutian ke Switzerland sumbangan Kaki Jalan, pakej penginapan di Royale Chulan Hotel London sumbangan Royale Chulan Hotels & Resorts, saucer dekorasi ruangan sumbangan Ritz Reka dan trofi, berkongsi rasa syukur atas kemenangan itu. 

"Terima kasih Tuhan. Terima kasih banyak-banyak. Terima kasih kepada semua yang ada pada malam ini, yang sentiasa menyokong saya. Terima kasih kepada barisan juri," katanya. 

Lima finalis yang berentap di pentas akhir program ASGV adalah Siti Nordiana, Azharina, Naqiu, Hady Mirza, Liza Hanim, Nikki Palikat dan Tomok dan kesemua mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 sumbangan Astro, pakej percutian sumbangan Kaki Jalan dan trofi emas ASGV.

Sementara itu, Naqiu juga turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pilihan Bos Susu berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.

Di pentas akhir yang berlangsung di Axiata Arena itu, Jaclyn mempersembahkan tiga lagu menerusi tiga segmen iaitu When You Believe dalam segmen lagu solo, Sandarkan Pada Kenangan (lagu duet bersama Datuk Jamal Abdillah) dan Let's Kill This Love (pusingan 'battle' bersama Siti Nordiana, Liza Hanim dan Tomok).

Program ASGV yang diacarakan gandingan pengacara, Nabil Ahmad dan Jihan Muse dijurikan oleh barisan juri tetap, Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat serta juri jemputan, Ella.

Seramai 11,000 penonton di Axiata Arena dan di rumah juga turut dihiburkan dengan persembahan oleh Ella dan Hael Husaini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 12:58 AM