Pelakon Azlan Komeng. Foto Genes Gulitah
Pelakon Azlan Komeng. Foto Genes Gulitah
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Azlan Komeng menegaskan, tidak pernah wujud isu cerai dengan isterinya, Nur Nilam Ortiz dan ia hanya salah faham membabitkan perniagaan.

Azlan berkata, isterinya yang berketurunan Siam dan Sepanyol kurang faham Bahasa Melayu 'pasar' dan lebih selesa dengan Bahasa Melayu formal.

"Saya tak mahu ceritakan secara terperinci sebab ia akan berlarutan. Kalau mengenai perceraian itu, apa yang orang ramai tak tahu adalah, isteri saya bukanlah Melayu.

"Dia kacukan Siam di sebelah ibunya dan Sepanyol di sebelah bapanya. Dia belajar Bahasa Melayu mengikut buku atau formal. Bila bahasa yang tak formal, dia selalu salah faham.

"Cerita kami ini sebenarnya mengenai perniagaan. Dia ada jalannya sendiri dalam perniagaan dan saya juga ada jalan saya sendiri. Jadi, kami bergaduh mengenai idea untuk perniagaan sebenarnya.

"Saya cakap kepada dia, kau buat jalan kau, aku buat jalan aku. Dia ingat saya menceraikan dia. Kita pula waktu itu sedang marah, jadi saya cakap, saya keluar. Kemudian, bila saya balik, dia beritahu bahawa dia sudah keluarkan kenyataan mengenai perceraian. Astaghfirullah," katanya.

Menurutnya, keesokan harinya, dia dan isteri terus ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 30 November lalu untuk dirujuk.

"Saya cakap, tak apa untuk lebih faham dan orang pun cakap kita main-main, saya cakap, kita kena ke mahkamah. Bila ke mahkamah, hakim pun ketawa.

"Esoknya terus kami ke mahkamah untuk jernihkan keadaan sebab benda ini tak boleh dibuat main-main. Maafkan isteri saya sebab terlalu cepat membuat keputusan.

"Jadi, tak ada isu cerai pun sebab saya tak ada sebut perkataan cerai atau talak," katanya.

Tambahnya, sekiranya dakwaan mengenai dia bersikap 'nakal' dengan perempuan lain adalah benar, Azlan menafikannya.

Terdahulu, Azlan berumah tangga dengan Nur Nilam pada 22 Januari 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 6:40 PM