MOHAMMAD Faizal (kanan) dan Mohammad Faizul bersama ibu mereka, Aishah Mohamad.FOTO Ihsan pembaca.
MOHAMMAD Faizal (kanan) dan Mohammad Faizul bersama ibu mereka, Aishah Mohamad.FOTO Ihsan pembaca.
Redzuan Muharam


Langkawi: Uniknya pasangan kembar Mohammad Faizal dan adiknya, Mohammad Faizul Baidi bukan hanya kerana wajah mereka yang seiras.

Sebaliknya, kembar yang berusia 23 tahun istimewa kerana fasih bertutur dalam bahasa Thailand walaupun lahir di sini.

Menurut Mohammad Faizal, mereka berdua tidak mengikuti kelas bahasa Thailand tetapi fasih bertutur dan memahami erti perkataan kerana ibu mereka berketurunan Melayu kacukan Siam.

"Kami tak pernah belajar tetapi emak Melayu Siam jadi bila dia marah, dia akan cakap Thailand.

"Ada ketika, dia cakap bahasa Melayu jadi lama kelamaan kami berdua jadi fasih dan faham.

"Ikutkan, saya saja berkongsi di TikTok mengenai perkara itu namun tak sangka dapat perhatian ramai hingga ada yang nak jadikan kami anak angkat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi perihal kehidupan, Mohammad Faizal berkata, dia memang rapat dengan adik kembarnya, Mohammad Faizul sejak kecil.

Katanya, mereka sebelum ini tidak pernah berenggang malah membesar bersama di rumah anak yatim selepas dihantar ke situ oleh ibu, Aishah Mohamad, 50, ketika berumur 13 tahun kerana kesempitan hidup.

"Kami kehilangan ayah ketika berumur setahun dan sejak itu dibesarkan emak sehingga dihantar ke rumah anak yatim.

"Mulanya memang susah nak biasakan diri kerana sudah biasa tinggal dengan emak sampai menangis dibuatnya.

"Dua bulan juga saya ambil masa untuk sesuaikan diri namun adik kembar banyak beri saya semangat.

"Ikutkan kami memang rapat dan buat banyak benda bersama. Kami makan sekali, solat sekali malah kalau dia menangis, saya pun akan menangis.

"Kiranya, kami banyak kongsi masalah dan antara kenangan tak dapat lupa adalah pergi sekolah dengan pakaian buruk," katanya yang juga berpengalaman sebagai askar wataniah bersama kembarnya.

Lantaran hubungan yang akrab, Mohammad Faizal mengakui berat hati untuk melepaskan kembarnya berkahwin.

"Kembar saya berkahwin pada September tahun lalu dan tidak lama lagi, dia pun akan bergelar bapa.

"Masa dia kahwin memang sedih kerana memikirkan akan kurang bersama dengannya memandangkan dia sudah ada tanggungjawab baru.

"Bagaimanapun, tiada apa yang berubah malah kami kini sama-sama jadi tukang kayu dan sedang bekerja dengan sebuah syarikat produksi filem luar negara.

"Ikutkan impian nak jadi askar tetapi tak ada rezeki. Bagaimanapun, saya reda dan berharap dapat pergi lebih jauh dalam bidang pekerjaan sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 9:09 PM