Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelawak popular, Shuib mengesahkan kontraknya selama lebih setahun sebagai penyampai radio Suria FM sudah tamat berkuat kuasa hari ini.

Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad, 39, berkata, dia menimba pengalaman berharga sepanjang tempoh lebih setahun mengendalikan segmen Team Pagi Suria yang dikenali sebagai Morning Morning Suria berganding dengan dua lagi penyampai iaitu Ajak dan Suraya.

"Saya mengambil keputusan tidak menyambung kontrak dengan stesen Suria FM kerana mahu memberi fokus sepenuhnya kepada perniagaan.

"Pada masa sama, saya juga tiada sebarang isu atau masalah dengan pihak stesen radio dan keputusan ini dibuat atas persetujuan bersama membabitkan kedua belah pihak," katanya kepada Harian Metro.

Shuib menyertai stesen radio berkenaan pada 29 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, menerusi kenyataan akhbar, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin berkata, kerjasama yang sudah terjalin hampir hampir tahun ini adalah satu langkah strategik bagi Suria FM dalam rangka perancangan bagi 2023 membabitkan kerjasama khas dengan Shuib untuk beberapa tempoh saja.

"Komitmen Shuib bersama Suria FM bukan saja menjadi sebahagian daripada perancangan tahunan stesen radio tetapi juga menjadi satu pengalaman yang amat berharga buat kami," katanya.

Mewakili keluarga Suria FM, DJ Lin berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih diatas segala komitmen padu dan elemen kreatif yang dibawakan oleh Shuib kepada stesen radio berkenaan.

Mengenai siapa pengganti Shuib, DJ Lin berkata, masih terlalu awal untuk diputuskan lagi.

"Pihak kami akan memaklumkan kepada umum mengenainya sebaik keputusan rasmi dicapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 4:42 PM