Shuib (tengah) bersama Suraya dan Ajak.
Shuib (tengah) bersama Suraya dan Ajak.
Sudirman Mohd Tahir

Putrajaya: Pelawak, Shuib dipilih menjadi penyampai radio baharu Suria FM.

Pengumuman itu dibuat pada siri Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell yang berlangsung di pusat beli-belah IOI City Mall, di sini, petang ini.

Shuib, 38, atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad bakal berganding dengan Ajak dan Suraya menerusi segmen Team Pagi Suria yang turut diberikan penjenamaan baharu sebagai Morning Morning  Suria. 

Pemilihan Shuib itu juga bagi menggantikan tempat penyampai, Fizi Ali yang berhijrah ke stesen Hot FM.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau dikenali sebagai DJ Lin berkata, pemilihan Shuib itu diharap dapat memberikan impak yang lebih kepada stesen mereka.

"Kami berharap dengan pelantikan Shuib akan memberikan impak lebih baik kepada pasukan Suria FM sekali gus dapat menarik lebih ramai pendengar baharu.

"Kita juga berterima kasih kepada Shuib kerana sudi menyertai kami sebagai penyampai Suria Pagi yang kini dikenali sebagai Morning Morning Suria," katanya kepada Harian Metro.

Menerusi pengumuman itu Shuib tampil membawa sebuah motosikal sebagai hadiah utama cabutan bertuah sekali gus diumumkan sebagai penyampai baharu.

Sebelum ini Shuib pernah menjadi penyampai radio di stesen radio Hot FM selama dua tahun sebelum mengundur diri pada Januari tahun lalu.

Sementara itu, DJ Lin berkata jelajah hari ini dihadiri lebih 12,000 pengunjung yang mana ia adalah penampilan pertama Suria FM di Lembah Klang, selepas dua tahun tidak turun padang bertemu peminat disebabkan pandemik Covid-19.

"Jujurnya, kami sangat teruja kerana terlalu rindu untuk bertemu dengan pendengar setia Suria FM dan pada masa sama kami sangat bersyukur atas sambutan luar biasa yang diberikan. 

"Kehadiran pengunjung di lokasi terakhir mencatatkan jumlah penonton paling ramai berbanding lokasi lain. Dianggarkan lebih

12,000 penonton membanjiri rang legar IOI City Mall. Ini membuktikan Suria FM semakin diminati dan bertambah jumlah pengikutnya. 

"Kebanjiran penonton pada hari ini bukan sahaja datang dari Lembah Klang tetapi juga dari serata Malaysia termasuk Singapura. Kejayaan ini mencetuskan inspirasi buat kami di Suria FM agar terus berusaha memberikan yang terbaik buat pendengar setia kami. 

"Misi terdekat kami adalah untuk meletakkan Suria FM tersenarai di antara tiga stesen radio bahasa Melayu paling popular dan paling ramai khalayak pendengarnya apatah lagi tahun in menyaksikan Suria FM bakal menyambut ulang tahun ke-15 pada 24 November depan," katanya.

Siri jelajah itu menyaksikan persembahan lebih 18 artis popular, Dayang Nurfaizah, Imsoniacks, Amir Uk's, Nuha Bahrin, Naufal Azrin, Muss, Floor 88, Wany Hasrita, Haqiem Rusli, Iman Troye, Amir Masdi.

Jelajah itu memasuki siri terakhir hari ini selepas menjelajahi beberapa negeri seperti Kuantan, Pahang Alor Setar, Kedah, Johor Bahru, Johor bermula awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 7:13 PM