BELLA Astillah bersama ibunya, Mama Ina beri saingan sengit.
BELLA Astillah bersama ibunya, Mama Ina beri saingan sengit.
Minda Ranggong


PASUKAN Kerang dianggotai pelawak dan penyampai radio terkenal, Shuib dan isterinya, Watie akan bersaing dengan gandingan penyanyi dan pelakon, Bella Astillah bersama ibunya, Mama Ina iaitu dari pasukan Geng Pandai Masak Nasi pada saingan minggu kedua program Dapur Tempur Selebriti di TV9 jam 8.30 malam ini.

Berkongsi perasaan ketika saingan itu, Shuib atau Shahmira Muhamad, 38, berkata dia menerima tawaran menjayakan program berkenaan kerana ia program masakan yang julung kali menampilkan mereka.

"Watie juga boleh tahan pandai memasak. Saya memang suka dengan program masakan seperti ini kerana ketika bersama arwah isteri, Siti Sarah dulu pun kami selalu terbabit dalam program bercorak kekeluargaan seperti ini.

"Dua tiga hari sebelum rakaman, Watie juga beritahu dia berasa gementar kerana tema program ini adalah masakan barat yang dia jarang masak di rumah. Maklumlah, saya suka masakan kampung dan tradisional sebab itu dia jarang masak masakan barat di rumah." katanya.

Mama Ina pula menaruh keyakinan mereka mempunyai peluang besar untuk menang.

"Bella memang seorang yang rajin ke dapur dan memang hebat memasak. Jika kami memasak makanan barat, Bella yang akan masak dan Mama Ina akan membantu.

"Untuk masakan lauk pauk kampung pula, Mama Ina yang akan memasak dan giliran Bella pula membantu." katanya.

GELAGAT barisan juri jadi perhatian.
GELAGAT barisan juri jadi perhatian.

Keyakinan kedua-dua pasukan membuatkan juri tidak sabar untuk melihat hasil tangan daripada mereka. Apakah reaksi Cef Naem dan Michael Ang apabila merasa hidangan daripada kedua-dua pasangan selebriti ini? Jika episod pertama bertemakan 'bebas', apakah tema atau bahan utama untuk minggu ini?

Difahamkan cabaran kali ini bertemakan 'Macam Mana Ni?' di mana peserta perlu menyediakan hidangan tanpa menggunakan satu peralatan masak yang sangat penting! Namun, cabaran ini diyakini tidak akan mematahkan semangat mereka untuk beraksi di dapur dengan keyakinan tinggi.

Terdahulu pada minggu pertama kumpulan 50-50 dianggotai Ain Edruce dan Amirul dinobatkan sebagai juara mingguan selepas menewaskan kumpulan Mok Strong (Achey dan Anne) sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 serta barangan tajaan Prego dan Vinda selama setahun.

ANTARa selebriti yang terbabit dalam program Dapur Tempur.
ANTARa selebriti yang terbabit dalam program Dapur Tempur.

Pemenang mingguan akan ditentukan oleh juri berdasarkan cita rasa, persembahan hidangan, cara kerja berpasukan dan kebersihan.

Mereka juga berpeluang membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta hamper tajaan Prego selama setahun. Vinda turut menyumbang hamper barangan selama setahun khusus untuk pemenang episod ini.

Lebih menarik penonton juga berpeluang memenangi wang tunai RM200 dengan menyertai peraduan Tonton & Menang setiap minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 6:20 AM