Zaiton Sameon
Zaiton Sameon
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon, 67, menyarankan kepada artis veteran yang berdepan masalah kesempitan hidup agar berani ke hadapan untuk berkongsi bagi mendapat bantuan daripada pihak tertentu.

Zaiton berkata, sekiranya betul-betul dalam kesusahan dan perlukan bantuan usah berdiam diri dan tampil memaklumkan masalah dihadapi untuk dibantu dan mendapat jalan penyelesaian sewajarnya.

"Kalau dah susah tu, tampil ke depan, beritahu. Kalau tak diberitahu, mana orang nak tahu dan seterusnya akan membantu. Macam mana pun, kehidupan perlu diteruskan.

"Malu? Kalau ada banyak tawaran 'show' (menyanyi), saya pun takkan minta bantuan. Tapi, kalau dah memang susah, terpaksa minta bantuan. Tolak ke tepi saja, rasa malu itu," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi lagu Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar ini berkata, bantuan diterima daripada orang ramai itu juga bukan paksaan, namun kalau ada ingin membantu maka terima saja.

"Kalau ada peluang, orang nak membantu terima dengan hati terbuka. Ia adalah rezeki. Pemberian bantuan daripada orang lain itu rezeki.

"Apapun, saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Zakat, Baitulmal, Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) dan semua pihak yang sudah membantu saya," katanya.

Pada 17 September lalu, Zaiton meluahkan kisahnya yang memerlukan bantuan kewangan bulanan daripada pihak berkaitan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup dihadapi selepas kurang mendapat tawaran menyanyi.

Kesempitan hidup Zaiton turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghantar wakilnya iaitu Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi untuk melawat serta menyampaikan bantuan kewangan dan bakul makanan pada 19 September lalu.

Pada 14 November tahun lalu, Zaiton juga menerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada JKM Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, Zaiton pernah mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan dia cedera parah di bahagian kepala hingga menyebabkan hilang ingatan sementara.

Tidak hanya itu, Zaiton turut kehilangan anak lelaki tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun yang meninggal dunia dalam kemalangan itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 12:37 PM