BARISAN pelakon teater Bangsawan Dendam Laksamana yang dipentaskan di MaTic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur sejak Jumaat hingga 11 November ini.
BARISAN pelakon teater Bangsawan Dendam Laksamana yang dipentaskan di MaTic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur sejak Jumaat hingga 11 November ini.
Ridzuan Abdul Rahman


PENGARAH teater Bangsawan Dendam Laksamana, Pat Ibrahim mengakui agak panik apabila ramai pelakon asalnya terpaksa menarik diri daripada pementasan musim ini kerana terikat dengan komitmen lain.

Teater yang diadaptasi daripada kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang kini menemui penonton di Dewan Tuanku Abdul Rahman, MaTic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur sejak 2 November dan akan berakhir pada 11 November ini.

“Perasaan panik memang dirasai apabila Nadia Aqilah yang sepatutnya bawa watak Wan Anum tak dapat berlakon kerana komitmen penggambaran drama. Begitu juga watak Tria Aziz (Mayang) dan Azizah Mahzan (Pawang Sadewata) yang masing-masing terpaksa digantikan oleh pelakon lain.

“Bagaimanapun, saya beruntung kerana sementara nak sampai ke pementasan ini, saya sempat melatih Aidilla Shaffi untuk membawakan watak Dang Anum dan Que Rose sejak Ramadan lalu. Saya tiada pilihan selain memanfaatkan mereka.

“Mereka adalah pelakon baru berbakat besar yang menyertai Jerayawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya anjuran Pat Ibrahim Project Entertainment (PIPE) selepas dilancarkan pada Mei lalu,” katanya kepada Harian Metro.

Pat turut mengakui tanpa pembabitan nama-nama besar, kesannya terhadap teater terbabit amat dirasai.

“Nampaknya ia (kesan) memang ada, tapi saya harus percaya kepada naskhah dan saya percaya kepada bakat-bakat pelakon baru.

“Kami berlatih selama tiga minggu dan mereka berjaya memberikan persembahan yang meyakinkan,” katanya.

Pelakon-pelakon yang terbabit dalam teater itu ialah Datuk Jalaluddin Hassan (Bendahara Tun Abdul Jalil), Hairi Safwan (Laksamana Megat Seri Rama), Anwar Rusdini (Sultan Mahmud Syah II) dan Megat Sharizal (Seri Bija Wangsa).

Dalam pada itu, Pat menggesa peminat agar memupuk budaya membeli tiket awal, dan bukannya mendapatkan pada saat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 6:10 PM