Norhayati Nordin

 

 

Kuala Lumpur : Penghibur legenda Malaysia, Datuk Shake, 73, memohon maaf kepada peminat yang sudah membeli tiket bagi menyaksikan konsertnya pada 16 Disember ini di Zepp Kuala Lumpur apabila acara itu terpaksa ditunda oleh penganjur.

 

Penganjur dalam satu kenyataan berkata, konsert istimewa penyanyi yang popular dengan lagu Umi, Lina dan Anugerah Dari Kegagalan itu tidak dibatalkan, tetapi ditunda pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

 

"Dukacita dimaklumkan bahawa Konsert Datuk Shake Zepp KL yang dijadualkan berlangsung pada 16 Disember ini telah ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

 

"Pihak penganjur dan Datuk Shake memohon maaf di atas penundaan ini terutama buat pembeli tiket konsert .

 

"Konsert ini ditunda dan bukan batal. Ia bakal pindah ke tarikh lain apabila situasi menjadi lebih baik untuk menyambut dan merai persembahan Datuk Shake! Kami memohon maaf kepada semua peminat," tulis kenyataan berkenaan.

 

Dalam pada itu, pihak penganjur juga memaklumkan untuk bayaran balik (refund) tiket yang sudah dibeli, ia boleh dibuat pembeli (tiket) dengan menghubungi bahagian Ticketcharge di talian 03-92228811.

 

Baru-baru ini, Shake atau nama sebenarnya, Sheikh Abdullah Ahmad Bahweres yang ditemui Harian Metro pada sesi fotografi di studio Balai Berita, mengakui beliau teruja untuk menghiburkan peminat pada konsert solonya kedua di Malaysia selepas 39 tahun.

 

Bapa kepada empat cahaya mata yang berasal dari Johor dan mula membina karier nyanyian sejak era 1970-an itu, pernah mengadakan konsert solo pertamanya di tanah air pada 1984 sebagai menghiburkan peminat.

 

Shake yang bertemu jodoh dengan wanita berketurunan Czech, Datin Melina Shake Abdullah juga bekas model dan pelakon teater, kini menetap di Paris, Perancis bersama anak mereka iaitu Mina, 52, Natacha, 45, serta sepasang kembar, Nicholas dan Amaro, 42, termasuk tujuh cucu.

 

Konsert Datuk Shake Zepp KL dibawakan InTour Live Events dengan kerjasama iMe Entertainment Group, selain Shake juga difahamkan bakal meraikan ulang tahun ke-50 pembabitan dalam dunia seni pada 2026 nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 11:50 PM