Penyanyi, Zaiton Sameon. FOTO Aziah Azmee
Penyanyi, Zaiton Sameon. FOTO Aziah Azmee
Zaara Talita


Petaling Jaya: Penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon, 67, mengakui terkilan dengan sikap segelintir pihak yang menabur janji untuk membantu namun berdiam diri.

Bagaimanapun, Zaiton bersyukur pihak berkenaan kembali menghulurkan bantuan sejurus selepas kenyataannya mengenai kesempitan hidup yang dihadapi.

"Tidak dinafikan ada pihak yang berjanji untuk memberikan bantuan namun mendiamkan diri. Memang ramai yang mengambil kesempatan dengan kesusahan yang saya hadapi.

"Dalam masa yang sama, mereka kembali tampil selepas tular mengenai kesempitan hidup yang saya hadapi. Apa pun, saya nak ucapkan syukur kepada Tuhan kerana memberi rezeki yang tidak putus pada saya. "Nak menangis rasanya sebab Perdana Menteri kita sendiri juga memberi bantuan kepada saya. Tapi saya tak boleh cakap jumlah bantuan yang diberikan," kata Zaiton ketika ditemui media.

Baru-baru ini Zaiton menerima bantuan wang tunai RM3,000 melalui inisiatif hasil kerjasama Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Sumbangan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar Zaiton diwakili ahli keluarga angkat penyanyi itu di Bukit Indah, Ampang.

Zaiton bersyukur sehingga kini dirinya terus mendapat perhatian termasuklah menerima bantuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakan industri seperti Zamani Slam dan ramai lagi.

Pada 14 November tahun lalu, Zaiton menerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan.

Zaiton mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 6:08 PM